SESB nafi gangguan elektrik di seluruh Sabah, Labuan

0

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau notis berhubung gangguan bekalan elektrik di seluruh Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) SESB Chendramata Sinteh berkata kenyataan yang disebarkan pihak yang tidak bertanggungjawab melalui media sosial Facebook dan WhatsApp itu adalah palsu.

“Oleh itu saya nasihatkan orang ramai jangan terus menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengakibatkan kesulitan yang tidak sepatutnya kepada pengguna lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi talian Careline SESB di 15454 sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan SESB.

Sejak kelmarin, satu kenyataan palsu tersebar menyatakan ada gangguan elektrik di seluruh Sabah dan Labuan dari jam 8 pagi hingga 4 petang. — Bernama