‘Sewing World’ sasar perluas pasaran seni jahitan kreatif

0
KREATIF: Tunku Azizah Aminah Maimunah (dua kanan) berkenan melihat antara mesin jahit yang digunakan untuk menghasilkan satu foto ‘quilt’ sempena ‘Sewing World Gallery’ di Subang Jaya semalam. — Gambar Bernama

KREATIF: Tunku Azizah Aminah Maimunah (dua kanan) berkenan melihat antara mesin jahit yang digunakan untuk menghasilkan satu foto ‘quilt’ sempena ‘Sewing World Gallery’ di Subang Jaya semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pusat pameran dan latihan seni jahitan kreatif dikenali dengan nama ‘Sewing World’ dilancarkan di sini semalam dengan matlamat memperkasakan dan memperluaskan pasaran seni jahitan kreatif sekali gus membangunkan ekonomi masyarakat di negara ini.

Pusat itu dikendalikan Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) dengan kerjasama beberapa agensi antaranya Pusat Latihan Kraftangan Epal (EPAL), Koperasi Dagang Seni Malaysia, Mostwell Sdn Bhd dan Yayasan Inovatif Mostwell (YIM).

Penaung PSJK, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkata pelancaran Se-wing World juga diharap dapat memberi kesan positif dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pelancongan dan kraf tangan.

“Ia diharap dapat memberi impak positif membangunkan ekonomi masyarakat dalam pelbagai bidang yang dapat membantu masyarakat memperkasakan kehidupan mereka,” titah baginda semasa merasmikan Sewing World di sini.

Sementara itu, Pengerusi PSJK, Fully Chye Goet Lee berkata persatuan itu menyasarkan untuk melatih 20,000 tukang jahit kreatif dalam masa lima tahun.

Katanya PSJK kini telah melatih 5,000 ahli melalui 15 pusat latihan EPAL seluruh negara.

“Dengan penubuhan Se-wing World, ia akan menjadi platform pasaran produk yang dihasilkan ahli dan menyediakan pusat latihan bagi mereka yang baharu berjinak-jinak dengan dunia jahitan kreatif,” katanya.

Katanya, antara produk kreatif yang dipamerkan dan dijual termasuk kraf tangan, beg tangan dan produk seni tampal cantum.

Fully turut berharap pusat berkenaan dapat menarik le-bih ramai orang kurang upaya untuk menjadikan seni jahitan kreatif sebagai penyumbang pendapatan mereka.

“Beberapa perintis yang dilatih di PJSK telah menjadi usahawan yang berpendapatan lumayan melalui program peningkatan sosio ekonomi melalui program ‘handmade market’ PSJK.

“Kami mahu seni jahitan bukan hanya tertumpu pada jahitan baju yang menyumbang pendapatan bermusim, sebaliknya tertumpu pada produk harian yang dihasilkan secara kreatif supaya mereka dapat menjana pendapatan berterusan,” katanya. — Bernama