Jaguh dunia bakal gegar Sibu

0

17 negara dijangka hantar pemain badminton untuk Victor Far East Malaysia Masters 2017

// Oleh Borhaniza Ali Basah //

UNTUK SIBU: Abdul Karim (tengah) bersama Hii (dua kiri), Lawrence (dua kanan) dan yang lain pada sidang media di bilik mesyuarat di Stadium Tertutup Sibu, semalam.

UNTUK SIBU: Abdul Karim (tengah) bersama Hii (dua kiri), Lawrence (dua kanan) dan yang lain pada sidang media di bilik mesyuarat di Stadium Tertutup Sibu, semalam.

SIBU: Sebanyak 17 negara bakal berentap merebut gelaran juara pada Kejohanan Badminton 3-Star USD120,000 Victor Far East Malaysia Masters 2017 yang akan diadakan buat julung kalinya di Stadium Tertutup Sibu dari 17 hingga 22 Januari tahun depan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan itu bakal menampilkan lima acara iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran.

Sehubungan itu, beliau menjangka kesemua negara akan menghantar jaguh badminton masing-masing untuk bersaing pada kejohanan berprestij tersebut.

“Kita akan melihat pemain terkemuka yang pernah mewakili negara masing-masing pada Sukan Olimpik di Rio baru-baru ini beraksi di sini.

“Oleh itu, saya percaya, Malaysia juga akan menghantar jaguh-jaguh badminton yang pernah memenangi medal untuk bersaing dalam kejohanan itu, sama ada bagi kategori perseorangan, beregu atau beregu campuran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung kejohanan tersebut di Stadium Tertutup Sibu di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Lawrence Chew dan Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee.

Menurut Abdul Karim, kejohanan itu adalah sebahagian daripada Badminton World Federation (BWF) Grand Prix Series dan dianjurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dihoskan bersama Persatuan Badminton Sarawak (SBA), dengan kerjasama Persatuan Badminton Sibu dan Pejabat Residen Bahagian Sibu.

Tambahnya, penganjuran kejohanan itu juga sempena dengan Tahun Melawat Sibu 2017 (TMS 2017).

“Seperti yang kita boleh lihat, acara ini akan diadakan pada bulan Januari, jadi kita menjangkakan kejohanan peringkat antarabangsa ini akan menjadi acara pembukaan untuk TMS 2017,” ujarnya.

Di samping itu, beliau berharap peluang ini akan diambil sepenuhnya oleh pemain dan persatuan badminton tempatan terutama dari wilayah tengah untuk menyaksikan jaguhjaguh terkemuka badminton berentap secara langsung di Stadium Tertutup Sibu.

“Acara seperti ini pernah diadakan di Kuching kerana kebiasaannya acara sukan peringkat antarabangsa akan dianjurkan di Kuching.

“Sibu terpilih kerana telah memiliki sebuah stadium badminton yang baharu dan kejohanan ini adalah kejohanan badminton terbesar pernah diadakan di sini,” katanya.

Mengenai jadual perlawanan, Abdul Karim memberitahu, pusingan kelayakan akan diadakan pada 17 Januari dan perlawanan kejohanan akan diadakan pada 18 dan 19 Januari.

“Peringkat suku akhir akan diadakan pada 20 Januari, diikuti separuh akhir pada 21 Januari dan peringkat akhir akan berlangsung pada 22 Januari,” jelasnya.

Tambahnya, orang ramai juga boleh menyaksikan kejohanan ini menerusi kaca televisyen pada tiga hari terakhir kejohanan yang akan dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia.