Bukti janji ditepati

0
WAJAH GEMBIRA: Najib ditemani Abang Johari, Nancy, Fadillah, Naroden dan tetamu kehormat lain melihat pemandangan dari atas Jambatan Batang Sadong.

WAJAH GEMBIRA: Najib ditemani Abang Johari, Nancy, Fadillah, Naroden dan tetamu kehormat lain melihat pemandangan dari atas Jambatan Batang Sadong.

JANJI DITEPATI: Najib ditemani (dari kiri) Abang Johari, Awla dan Fadillah mendengar penerangan mengenai Jambatan Batang Sadong daripada Nancy.

JANJI DITEPATI: Najib ditemani (dari kiri) Abang Johari, Awla dan Fadillah mendengar penerangan mengenai Jambatan Batang Sadong daripada Nancy.

Jambatan Batang Sadong sepanjang 1.48 kilometer, bernilai RM231 juta bukti BN tidak mungkir janji.

Oleh Rusnan Mustafa //

SADONG JAYA: Projek Jambatan Batang Sadong sepanjang 1.48 kilometer dan bernilai RM231 juta yang siap pada 16 Oktober lalu bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memungkiri janji.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jambatan yang dijangka merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut berjaya disiapkan dua minggu lebih awal daripada perancangan di samping kosnya lebih rendah RM12 juta berbanding pengumuman awal.

Malah menurutnya lagi, projek itu adalah bukti komitmen kerajaan untuk membangunkan kawasan terutama luar bandar menerusi pembangunan rangkaian perhubungan jalan raya yang baik, selesa dan selamat.

“Saya masih ingat lagi sewaktu mengadakan tinjauan mesra di sini pada 2011 ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak, saya telah melihat keadaan di kawasan ini dan pada hemat saya memang memerlukan sebuah jambatan kerana penggunaan feri menimbulkan banyak kesulitan dari segi perhubungan masyarakat di sini.

“Dalam majlis tersebut secara spontan walaupun tidak ada dalam bajet negara malah belum ada lagi tajuk membina Jambatan Batang Sadong tetapi saya telah memberi kelulusan serta-merta kepada pembinaan jambatan ini dan hari ini lebih kurang lima tahun kemudian saya berdiri di depan tuan-tuan dan puan-puan dengan rasa kesyukuran dan kelegaan kerana janji sudah ditepati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Sadong di Kampung Buloh di sini semalam.

“Ini semua rahmat bagi kita, selain jaminan keselamatan, ia juga akan merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk kawasan ini, potensi hasil pertanian kawasan ini juga boleh dipertingkatkan,” tambahnya.

Pada masa sama Najib memberitahu bahawa pembinaan jambatan dapat mewujudkan rangkaian jalan raya untuk penduduk pesisir pantai yang tidak ‘disinggahi’ Lebuh Raya Pan Borneo.

Bagi melengkapkan jajaran jalan pesisir pantai, beliau mendedahkan bahawa satu lagi jambatan dirancang untuk dibina merentasi Sungai Batang Lupar bernilai RM1 bilion yang pembinaannya dijangka dimulakan pada 2018.

Beliau menjelaskan, apabila siap jambatan sepanjang kira-kira lima kilometer yang dilaksanakan secara perkongsian 50-50 antara kerajaan negeri dan persekutuan itu, ia dijangka berstatus jambatan terpanjang di Sarawak, yang ketika ini dipegang oleh Jambatan Batang Sadong.

Selain itu, beliau memberitahu beberapa jambatan lagi yang sedang dirancang atau sudah diluluskan untuk menyediakan jajaran jalan pantai yang lebih lengkap dan selesa adalah Jambatan Batang Samarahan (anggaran RM112 juta), Jambatan Batang Igan (RM300 juta) dan Jambatan Batang Rambungan (RM130 juta).

Najib berkata inilah janji kerajaan yang tidak pernah diabaikan, kerana bagi kerajaan apabila berjanji, janji ditepati.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Turut hadir Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Talib Zulpilip, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, ADUN Lingga Simoi Peri dan tetamu kehormat lain.