Soal keselamatan Sabah diberi keutamaan tinggi

0

LAHAD DATU: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberi keutamaan tinggi terhadap isu keselamatan di Sabah, khususnya di kawasan pantai timur negeri.

Perdana menteri berkata usaha dan komitmen tinggi kerajaan untuk memastikan keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) berkenaan sudah menampakkan kejayaan besar.

Contoh apabila anggota keselamatan berjaya membunuh tiga penjenayah rentas sempadan dalam kes berbalas tembak pada 5 Dis lalu.

“Soal keselamatan akan terus diberi keutamaan tinggi oleh kerajaan dan kebelakangan ini kita melihat bahawa kita telah mencapai kejayaan besar melalui perubahan taktikal yang dilakukan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Sabah (ESSCom).

“…Kita berharap ini akan memberi amaran bahawa kita amat serius dan kita akan gunakan apa cara sekalipun untuk menjamin keselamatan rakyat Sabah, khususnya di kawasan pantai timur negeri ini,” katanya Najib kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Lebuhraya Pan Borneo Sabah Jalan Lintas Lahad Datu di sini.

Najib juga berkata selain peranan penting yang dimainkan anggota keselamatan, kerajaan juga dalam proses melaksanakan projek Pangkalan Operasi Hadapan (POH) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Lahad Datu untuk menempatkan helikopter pasukan keselamatan di sana.

Katanya beliau dimaklumkan oleh Kementerian Pertahahanan bahawa projek itu dijangka siap pada Oktober tahun 2017.

Upacara pecah tanah projek bernilai RM16 juta di atas kawasan seluas 0.48 hektar di Lapangan Terbang Lahad Datu itu telah disempurnakan Najib pada Mei 2016.

Projek berkenaan membabitkan pembinaan bumbung dan apron yang mampu menempatkan enam helikopter. — Bernama