Felcra Berhad perlu jadi peneraju industri jaminan bekalan makanan

0
ULANG TAHUN: Najib (dua kanan) menunjukkan duit syiling peringatan 50 Tahun FELCRA pada Majlis Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Felcra Berhad di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) dan Pengerusi FELCRA Berhad Datuk Seri Bung Moktar Radin (kanan). — Gambar Bernama

ULANG TAHUN: Najib (dua kanan) menunjukkan duit syiling peringatan 50 Tahun FELCRA pada Majlis Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Felcra Berhad di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) dan Pengerusi FELCRA Berhad Datuk Seri Bung Moktar Radin (kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu Felcra Berhad menjadi satu daripada peneraju industri jaminan bekalan makanan negara, khususnya dalam pengeluaran ayam, daging dan hasil tanaman, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri percaya dengan kekuatan agensi itu, ia dapat memberi sumbangan ketara dalam mengurangkan import hasil makanan secara lebih efisien dan sistematik.

“Nilai import bahan makanan pada tahun lepas meningkat melebihi RM45.4 bilion dan disebabkan itu kerajaan mahu Felcra Berhad menjadi satu daripada pengeluar utama industri jaminan bekalan makanan negara,” katanya semasa merasmikan sambutan 50 Tahun Felcra di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Sempena menjangkau usia 50 tahun, perdana menteri mahu agensi itu terus mengorak langkah ke hadapan dengan memberi lebih perhatian terhadap program meningkatkan pendapatan pesertanya.

Beliau berkata antara yang telah dilakukan adalah penubuhan tabung projek pinjaman ekonomi sejak 2009 untuk usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan masing-masing dengan dana sebanyak RM6 juta.

Perdana menteri berkata sehingga kini, sebanyak 1,100 usahawan telah mendapat manfaat daripada tabung pusingan itu dan antara sektor yang diceburi adalah industri makanan, ternakan, akuakultur dan pembinaan.

Beliau berkata Felcra Berhad turut bersetuju menyediakan dana tambahan sebanyak RM5 juta untuk tabung berkenaan mulai tahun depan bagi memperkasa ekonomi Bumiputera dan meningkatkan pendapatan peserta.

Najib dalam ucapannya turut menyentuh kerjasama dengan Sime Darby Plantation Sdn Bhd dalam bidang perladangan, kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam dalam projek tanaman mangga Harum Manis.

Katanya, kerjasama dengan  Sime Darby Plantation Sdn Bhd akan bermula tahun depan antaranya melibatkan pembekalan input pertanian seperti benih dan anak pokok serta pembekalan dan sewa beli alatan pertanian dan jentera perladangan.

“Felcra Berhad juga menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis Holdings Berhad yang mengaplikasi sepenuhnya kaedah teknologi terkini iaitu teknologi rumah hijau, yang didorong faktor permintaan tinggi terhadap mangga Harum Manis,” jelas Najib.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata pelajar Kolej Felcra juga diberi jaminan untuk menerima pembiayaan pinjaman PTPTN dan Felcra akan memberi pengurangan bayaran balik pembiayaan itu pada kadar 20 peratus bagi setiap pelajar.

Untuk tujuan itu, beliau berkata sebanyak RM20 juta diperuntukkan Felcra bagi tempoh 10 tahun mulai tahun depan yang akan memberi manfaat kepada 5,000 pelajar sepanjang tempoh itu.

Pada majlis itu, Najib turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara ketiga-tiga pihak berkenaan.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata selepas 50 tahun ditubuhkan, kawasan yang telah dimajukan FELCRA adalah seluas 260,000 hektar yang disertai lebih 110,000 peserta di seluruh negara.

“Kemajuan ini dapat dibanggakan kerana kalau didarab lima, lebih setengah juta manusia bergantung rezeki kepada FELCRA daripada hasil yang boleh diterima termasuk dividen yang dibayar setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata sejak dikorporatkan pada 1997, Felcra telah membayar dividen terkumpul mencecah RM5.5 bilion.

Najib juga berharap FELCRA akan terus mara ke hadapan dan menyumbang kepada konsep pembangunan luar bandar. — Bernama