Rayuan kerajaan dibenar

0

Oleh Jonathan Chia//

MAHU SEMAKAN SEMULA: Baru ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah di Kuching, semalam.

MAHU SEMAKAN SEMULA: Baru ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah di Kuching, semalam.

KUCHING: Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan bahawa ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’ tidak termaktub di bawah kuasa undang-undang di negeri ini.

Dalam keputusan penghakiman majoriti tiga berbanding satu, mahkamah tertinggi itu membenarkan rayuan kerajaan negeri dan mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’ sebagai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak.

Responden dalam kes itu, Tuai Rumah Sandah Tabau dari Rumah Sandah di Ulu Machan, Kanowit serta lapan pemilik NCR lain mendakwa mereka mempunyai hak-hak adat ke atas lebih 2,712 hektar ‘pemakai menoa.’

Majoriti hakim, yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff menjelaskan meskipun undang-undang biasa mengiktiraf hak adat tidak berdaftar, tetapi peraturan atau perintah negeri atau pengisytiharan yang diwujudkan Rajah serta Dewan Undangan Negeri kemudiannya tidak mengiktiraf adat ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau.’

“Kami mendapati hanya perihal adat yang diiktiraf dan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Madeli Salleh dengan adat dikenali sebagai ‘temuda,’ yang merujuk kepada adat mengenai penebangan atau membersihkan hutan dan bercucuk tanam dan mendakwa hak ke atas kawasan berkenaan.

“Adat ini telah disebut dan diiktiraf oleh undang-undang serta perintah pengisytiharan yang dibuat oleh Rajah dan kemudiannya oleh DUN, iaitu Perintah Rajah 1875, Fruit Trees Order 1899, Perintah Tanah 1952, Ordinan Penyelesaian Tanah 1953, Sekretariat Pekeliling 1939, Tusun Tunggu dan Seksyen 5 (2) Kanun Tanah,” kata hakim-hakim dalam penghakiman bertulis yang dibacakan Timbalan Pendaftar Mahkmah Persekutuan di bangunan Mahkamah Kuching di sini, semalam.

Selain Raus, hakim-hakim majoriti lain ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Abu Samah Nordin, sementara Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali membuat keputusan sebaliknya.

Menegaskan bahawa memberi pengiktirafan kewujudan adat serta amalan sedemikian sahaja adalah tidak mencukupi, sebaliknya hakim berkata, adalah penting bagi mana-mana adat untuk termaktub di bawah kuasa undang-undang seperti yang ditakrifkan di bawah Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka berkata, terdapat adat resam di Sarawak tidak diiktiraf undang-undang, maka ia tidak berada dalam sebahagian undang-undang adat di Sarawak dan kekal sebagai amalan untuk kegunaan penduduk pribumi.

“Apa yang penting yang diiktiraf oleh mahkamah kita adalah adat ‘temuda’ iaitu bercucuk tanam untuk kependudukan. Adat ini adalah penting dalam budaya Iban termasuk pembersihan, menduduki dan bercucuk tanam di kawasan termasuk tanah perkuburan dan tapak rumah panjang,” kata hakim.

Sementara itu, peguam Baru Bian ketika ditemui memberitahu akan memfailkan semakan mengenai keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan semalam.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kalalan percaya beliau mempunyai alasan yang baik untuk membuat semakan terhadap keputusan itu kerana menurutnya, terdapat banyak perkara ‘tidak kena’ dengan keputusan disampaikan mahkamah tertinggi itu.

“Bagi saya, keputusan hakim Zainun (menentang) adalah betul dan beliau memahami adat masyarakat pribumi Sarawak dan bersetuju dengan kami.

“Tiga hakim lain bersetuju bahawa ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’ wujud dalam adat kecuali mereka menyatakan ia tidak termaktub di bawah undang-undang, yang ternyata mereka tidak memahami adat dan kes Nor Nyawai,” katanya.

Pada 13 Mac 2011, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie membenarkan saman sivil yang difailkan oleh lapan pemilik tanah Dayak terhadap Kanowit Timber Company Sdn Bhd dan kerajaan negeri untuk pencerobohan ke atas tanah NCR mereka, termasuk ‘pemakai menoa’ yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri untuk Kanowit Timber Company Sdn Bhd.

Pada 13 Jun 2013, Mahkamah Rayuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu dan memutuskan bahawa ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’ adalah tanah-tanah NCR.