Jamin bangun Sarawak

0
GUNA SEBAIKNYA: Wan Junaidi menyampaikan cek dan replika cek bernilai RM50,400 kepada wakil Gereja BEM Kampung Pueh, Sematan pada majlis berkenaan, semalam.  Turut kelihatan, Feona (kanan).

GUNA SEBAIKNYA: Wan Junaidi menyampaikan cek dan replika cek bernilai RM50,400 kepada wakil Gereja BEM Kampung Pueh, Sematan pada majlis berkenaan, semalam.
Turut kelihatan, Feona (kanan).

Kerajaan persekutuan akan terus beri bantuan laksana pelbagai projek pembangunan: Wan Junaidi

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi jaminan kerajaan persekutuan akan terus memberi bantuan pembangunan kepada Sarawak.

Menurut Ahli Parlimen Santubong itu, ia termasuk kawasan Santubong di mana pelbagai projek pembangunan bersama kerajaan negeri telah dan sedang dilaksana yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerajaan pusat akan terus membantu kerajaan negeri dalam perihal pembangunan dan termasuk di kawasan di Santubong serta kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana pelbagai projek telah siap.

“Di Bako, kita berharap projek jambatannya akan siap seperti yang dijadualkan dan sejurus sahaja siap, ia akan memperkembang lagi ekonomi dan pembangunan di Bako kerana dapat dihubung terus dengan bandar raya Kuching,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Sumbangan Kain kepada Kumpulan Zikir DUN Demak Laut dan Penyerahan Cek Peruntukan Tambahan kepada Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Kampung Pueh (Sematan) bertempat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Santubong di sini, semalam.

Selain penyerahan berkenaan, isteri beliau Datin Seri Feona Junaidi menyampaikan sumbangan BAKTI kepada seorang penerima pada majlis yang sama.

Wan Junaidi pada majlis itu turut meminta rakyat di kawasan Parlimen Santubong terus kekal memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

“Kita mahu kawasan Santubong kekal mencatatkan rekod kemenangan terbaik seperti PRU13 di mana kita adakan yang terbaik di Malaysia,” katanya.

Mengenai Hari Krismas yang disambut umat Kristian pada Ahad ini, Wan Junaidi berharap ia diraikan dengan penuh perpaduan dan harmoni.

Katanya, ia harus menjadi wadah kepada perpaduan pelbagai kaum di negeri ini yang dapat bersama dalam perayaan dan tidak mewujudkan isu senstitif yang boleh memecahbelahkan rakyat.

Pada majlis penyerahan itu, sebanyak 26 persatuan atau pertubuhan menerima geran yang keseluruhan bernilai RM64,500.

Sumbangan kain untuk kumpulan zikir pula disampaikan kepada 24 Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Demak Laut, sementara Gereja BEM menerima sumbangan bernilai RM50,400 bagi tujuan melaksanakan kerja-kerja naik taraf fasa dua gereja berkenaan.

Manakala, sumbangan BAKTI disampaikan kepada Halena Tega bagi menampung kos rawatan jantung dan kos pengangkutan ulang-alik ke hospital bagi anaknya, Nur Iffah Zakirah Shamsul berusia enam tahun.