Ajal bayi

0

Bayi perempuan maut kereta dipandu bapa terlanggar lori yang dipercayai parkir di bahu jalan kerana rosak.

MALANG TIDAK BERBAU: Kereta dinaiki lima sekeluarga merempuh bahagian belakang lori parkir di bahu jalan.

MALANG TIDAK BERBAU: Kereta dinaiki lima sekeluarga merempuh bahagian belakang lori parkir di bahu jalan.

// Oleh Michael Ubam //

SIBU: Seorang bayi perempuan meninggal dunia selepas kereta dipandu ayahnya terlanggar belakang sebuah lori parkir di bahu jalan di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 7 malam itu, bayi dikenali sebagai Zara Arissa Luqman berumur lapan bulan bersama ahli keluarga sedang menaiki sebuah kereta sedan menghala ke arah Sibu Jaya sebelum terlanggar bahagian belakang lori di bahu jalan berhampiran sebuah stesen minyak.

Pasukan ambulans dimaklumkan orang awam tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian dan memberi rawatan kecemasan kepada mangsa-mangsa yang terbabit.

Kedua-dua ibu bapa mangsa berbangsa Kenyah hanya mengalami kecederaan ringan, manakala anak lelaki mereka berumur dua tahun mengalami luka di muka dan sakit dada.

Seorang lagi wanita iaitu adik ipar pemandu, 27, cedera di bahagian kaki kiri dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Bayi berkenaan cedera parah di bahagian kepala disah meninggal dunia di unit kecemasan sekitar jam 8 malam.

Menurut pegawai perubatan di tempat kejadian, pemandu lori tersebut dikatakan terpaksa parkir di bahu jalan selepas ia mengalami kerosakan.

Difahamkan, kemalangan tersebut berlaku ketika hujan dan lokasi kejadian agak gelap.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.