Thursday, September 23

SUKSA 2017 landasan cungkil lebih ramai bakat baharu: Ong

0

KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan menjadikan kejohanan Sukan Sarawak (SUKSA) 2017 sebagai landasan untuk mencungkil lebih ramai bakat-bakat baharu yang berpontensi untuk diketegahkan pada SUKMA 2018, Perak Darul Ridzuan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Dr Ong Kong Swee berkata kertas kerja pengelolaan kejohanan yang kedua pernah diadakan itu akan dibincangkan pada mesyuarat minggu depan.

“Jika dipersetujui dan diluluskan, ini adalah kali kedua Sarawak menganjurkan SUKSA sebelum menjadi juara SUKMA tiga kali berturut-turut iaitu 1990, 1992 dan 1994,” jelas Ong dalam sesi taklimat perancangan tahunan bersama persatuan-persatuan sukan di sini semalam.

Menurutnya, sebagai permulaan sebanyak lapan acara sukan pilihan telah dicadangkan pada SUKSA 2017 iaitu memanah, menembak, akuatik, karate, angkat berat, olahraga, sepak takraw, berbasikal dan golf.

Kata Ong, kejohanan yang akan dianjurkan di zon utara, selatan dan tengah itu dijangka melibatkan seramai 3,000 atlet terbaik dari seluruh bahagian di Sarawak dan dijangka diadakan pada November 2017.

“Selain itu SUKSA 2017 juga akan menampilkan sedikit kelainan apabila acara sukan Orang Kelainan Upaya (OKU) juga turut dicadangkan,” kata Ong.

Mengenai perancangan tahunan 2017, Ong berkata ia juga akan dibincangkan pada mesyuarat minggu depan.

Beliau juga mengingatkan semua persatuan sukan supaya lebih komited untuk memastikan kejayaan Sarawak pada SUKMA 2018 Perak Darul Ridzuan.

Turut hadir pada majlis taklimat semalam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman yang mewakili Rumpun Silat Sarawak (RSS).