Penemuan menggemparkan

0

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud//

TERBARING: Mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di mulut.

TERBARING: Mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di mulut.

BINTULU: Pengguna jalan raya dan orang ramai gempar melihat seorang lelaki yang ditemui mati dalam kenderaannya dengan  berlumuran darah di mulutnya di Jalan Sebiew di sini semalam.

Punca kematian mangsa yang dikenali Kudang Ligi, 49, dari Rumah Andrewson Aping, Sungai Sebatu, Suai Niah dekat sini itu belum dipastikan sehingga bedah siasat dilakukan.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zailanni Amit semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa melanggar penghadang jalan lalu hilang kawalan terhadap kenderaannya sebelum berhenti di tepi jalan.

MATI MENGEJUT: Orang ramai melihat secara lebih dekat kenderaan mangsa.

MATI MENGEJUT: Orang ramai melihat secara lebih dekat kenderaan mangsa.

Katanya mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat keselamatan ditemui berlumuran dengan muntah darah berbuih pada mulutnya.

“Hasil temu bual polis dengan abang iparnya, mangsa mempunyai masalah kesihatan jantung dan darah tinggi,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan kenderaan mangsa ditunda oleh polis trafik.

“Siasatan mendapati kes itu tiada unsur jenayah dan diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR) namun siasatan masih diteruskan,” jelasnya.

Kes tersebut dimaklumkan sekitar jam 8.15 pagi kepada Koperal Johardi Johen daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu oleh Hospital Bintulu.

PERIKSA: Anggota paramedik memeriksa keadaan mangsa.

PERIKSA: Anggota paramedik memeriksa keadaan mangsa.