Produk madu kelulut mampu jana pendapatan penduduk Bekenu

0

MIRI: Perusahaan produk hiliran melibatkan pemprosesan dan pemasaran madu kelulut antara sasaran menjana pendapatan penduduk dan ekonomi di Bekenu tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus berkata, ia merupakan usaha memperkenalkan produk keluaran tempatan di pasaran dalam dan luar negeri.

“Kita mahu membangun perusahaan madu kelulut dengan memastikan produk ini dipakej dan dipasarkan dengan betul. Selain itu memastikan produk pertanian kita berada di tahap persaingan tinggi,” kata Rosey mengenai harapan DUN Bekenu pada tahun baharu.

Rosey berkata, antara harapan beliau ialah menambah baik kesejahteraan dan ekonomi rakyat dengan merancakkan perusahaan kelapa sawit.

Menurutnya, kerjasama daripada Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) diperlukan untuk membangunkan produk hiliran dan kelapa sawit di Bekenu.

Mengenai sumber bekalan air bersih, Rosey berharap permohonan projek yang telah diluluskan akan dilaksanakan pada tahun depan.

Beliau berkata kini hanya Kampung Kuala Niah, Kampung Sinup, Kampung Mutap, Rumah Mandau, Rumah Ngayum dan Rumah Edward Ekau masih belum disambungkan air paip.

“Turut belum menerima bekalan air ialah kediaman berselerak di Pelapi dan Lumut Sibuti. Kita berharap projek ini dilaksanakan tahun depan, “ katanya lagi.

Rosey berharap projek menaik taraf kemudahan pelancongan di pantai Tusan akan menambah tarikan pantai yang terkenal dengan fenomena air mata biru (blue tears).

Populariti fenomena tersebut berjaya menarik pembikin filem dari China  menghasilkan filem berjudul Blue Tears yang sedang memulakan penggambaran.

Rosey berkata ia sedikit sebanyak membantu mempromosikan destinasi pelancongan di Bekenu.

“Kita juga akan menaik taraf kemudahan di Gua Niah, Pantai Bungai, Tebingan Sungai Niah dan Waterfront Bekenu,” jelasnya.

Mengenai encapaian sepanjang tahun lalu, Rosey berkata banyak kampung dan rumah panjang dihubungi dengan jalan raya.

Pembangunan fizikal lain ialah projek Jambatan Sibuti, balai bomba, Tebingan Sungai Niah dan Sepupok.

“Sekarang sedang dilaksanakan ialah kerja meletakkan lampu jalan di kawasan kampung dan rumah panjang,” katanya.