Pelan mega bantu kurangkan sandaran atas komoditi

0

// Oleh Ghaz Ghazali //

STRATEGI MENYELURUH: Foto arkib menunjukkan pemandangan panorama bandar raya Kuching. Di bawah SCORE, tumpuan                     tidak hanya diberi kepada kawasan bandar memandangkan pelan mega ini juga menyasar pertumbuhan di kawasan luar bandar.

STRATEGI MENYELURUH: Foto arkib menunjukkan pemandangan panorama bandar raya Kuching. Di bawah SCORE, tumpuan tidak hanya diberi kepada kawasan bandar memandangkan pelan mega ini juga menyasar pertumbuhan di kawasan luar bandar.

PENGUMUMAN Pelan Transformasi Sosioekonomi 2016-2030 (SETP) oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini merupakan pemangkin terbaharu dalam merealisasikan sasaran Sarawak ke arah ekonomi maju menjelang 2030.

Namun ini bukan satu usaha yang mudah, jika diambil kira garis masa yang tinggal kurang 14 tahun lagi.

Satu aspek utama bagi mana-mana ekonomi maju adalah memiliki kadar tahunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak tujuh peratus. Bagi Sarawak, rekod kadar tahunan puratanya setakat ini adalah sebanyak 4.4 peratus.

Melihat pada angka semata-mata, perjalanan Sarawak ke arah Visi 2030 tampak masih panjang dan penuh cabaran, terutama sekali dengan suasana terkini ekonomi dan geopolitik yang tidak menentu.

“Bagi Sarawak, cabaran-cabaran utamanya adalah ketidaktentuan harga komoditi, liputan infrastruktur yang masih belum meluas serta polisi tenaga kerja.

“Namun cabaran-cabaran ini merupakan inti pati di sebalik pelan-pelan pembangunan oleh Kerajaan Negeri Sarawak – atau lebih spesifik, SCORE (Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak) dan Projek Lebuhraya Pan Borneo,” kata Ketua Penarafan Negara RAM Ratings, Esther Lai, dalam satu temu bual bersama Utusan Borneo baru-baru ini.

Berbalik kepada SCORE, Lai percaya pelan mega ini mampu merancak dan mempelbagaikan ekonomi negeri ini agar ia beralih daripada sandaran terhadap komoditi semata-mata.

Menurut beliau, pelan koridor ini juga menyasar pertumbuhan di kawasan luar bandar dengan matlamat untuk mencapai kemajuan yang menyeluruh dan seimbang bagi Sarawak.

Zon ekonomi khas

“Kejayaan strategi seperti SCORE juga boleh dilihat di beberapa negara lain. Contohnya di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), kerajaannya telah menubuhkan beberapa SEZ (Zon Ekonomi Khas) – salah satunya adalah Zon Ekonomi Jebel Ali.

“SEZ telah banyak membantu UAE dalam usaha mempelbagaikan aktiviti dagangannya, mengurangkan sandarannya ke atas komoditi minyak serta merancakkan pertumbuhan ekonominya. Dijangka kadar pertumbuhan ekonomi UAE untuk tahun berakhir 2016 akan mencapai 2.4 peratus berbanding kadar purata sasaran GCC (Majlis Kerjasama Negara-Negara Teluk) yang hanya dua peratus.

“Ini adalah gambaran yang boleh kita lihat untuk Sarawak melalui SCORE,” ujar Lai.

Berdasarkan ‘Data Eksport UAE 1995-2015’ daripada Persidangan Perdagangan dan Pembangunan

di Bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), jelas kerajaan emiriyah ini berjaya mengurangkan kebergantungannya

ke atas komoditi minyak sebanyak lebih 35 peratus sepanjang tempoh 20 tahun tersebut.

Sebaliknya, UAE mencatat peningkatan yang ketara dalam eksport bukan komoditi minyaknya sehingga mencecah 60 peratus tahun lepas berbanding hanya

28 peratus daripada jumlah eksport pada 1995.

Potensi Sarawak untuk mencapai kejayaan seperti di UAE juga amat cerah, berdasarkan kepada statistik sumbangan hasil galian kepada KDNK sepanjang lima tahun bermula 2010.

Awalnya, sumber galian Sarawak mencatat sumbangan melebihi

25 peratus kepada KDNK pada 2010 dan 2011 namun untuk tahun lepas, bacaan ini sudah berkurang kepada lebih 22 peratus.

“Inilah tarikan SEZ – ia mengurangkan kebergantungan ekonomi kepada hanya satu atau dua jenis komoditi. Negara-negara jiran yang masih membangun seperti Myanmar dan

Laos juga sedar akan potensi SEZ, di mana mereka sudah pun menetapkan beberapa wilayah khas untuk pemantapan ekonomi masing-masing.

“Biarpun begitu, SCORE memiliki kelebihannya sendiri di mana ia mendapat manfaat daripada penambahbaikan kepada infrastruktur yang berterusan, tadbir urus korporat yang efektif serta iklim perniagaan yang lebih menyeluruh,” jelas Lai.

Peluang melalui koridor

SCORE merupakan antara lima koridor pembangunan di Malaysia – empat yang lain adalah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Tumpuan diberi kepada Sabah di mana kadar pertumbuhan KDNK tahunannya sama dengan Sarawak iaitu

4.4 peratus, tetapi garis masa untuk SDC mencapai sasarannya – berdasarkan unjuran Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) – adalah 2008-2025 berbanding 2008-2030 yang diperuntukkan buat SCORE.

Mengulas mengenai perbezaan ini, Lai berkata ia mencerminkan agenda pembangunan masing-masing.

“SCORE disandarkan atas pembangunan tenaga boleh diperbaharui dengan kadar tarif yang kompetitif bagi merangsang pelaburan masuk oleh industri-industri berintensifkan tenaga tinggi, di mana limpahan impaknya mampu menggalakkan ekonomi tempatan.

“Perlu diketahui bahawa pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan industri-industri utama yang akan menggunakan tenaga ini memerlukan modal yang tinggi serta tempoh matang yang lama. Atas sebab inilah, garis masa untuk SCORE adalah sehingga 2030, berbanding SDC yang akan berakhir pada 2025,” jelas beliau.

Bagi SDC, pelan pembangunannya merentasi beberapa lokasi geografi mengikut sektor fokus masing-masing.

“Sektor-sektor ini merangkumi minyak dan gas, industri hiliran kelapa sawit, pelancongan, logistik dan akuakultur,” tambah Lai.

(Ikuti Siri II yang akan mengupas peranan SETP dan fungsi-fungsi pelan transformasi ini dalam memacu Sarawak ke arah Visi Ekonomi Maju 2030).