Ayuh buktikan kemampuan

0

Oleh Harry Ilias//

BERPENGARUH: Ronny (tengah) mengepalai rakan sepasukan memanaskan badan sebelum memulakan latihan.

BERPENGARUH: Ronny (tengah) mengepalai rakan sepasukan memanaskan badan sebelum memulakan latihan.

KUCHING: Tonggak pertahanan Sarawak, Ronny Harun menyeru pemain muda tempatan skuad itu membuktikan kemampuan mereka dalam kempen Liga Super 2017 yang bakal bermula 21 Januari ini.

“Seperti sedia maklum kita banyak mengetengahkan pemain muda tempatan pada musim ini.

“Ini peluang mereka membuktikan kemampuan bermain dalam kejohanan bola sepak berprestij dan saya harap mereka memberikan komitmen yang tinggi,” kata Ronny ketika ditemu ramah Utusan Borneo semalam.

Ronny yang dijangka dikekalkan sebagai kapten Sarawak juga berharap pemain muda yang dipertaruhkan kali ini beraksi bersungguh-sungguh membantu skuad itu meraih keputusan yang lebih baik berbanding tahun lepas.

Pemain kebangsaan itu menegaskan, walaupun Sarawak menampilkan ramai pemain muda, ia bukan alasan untuk mereka gagal beraksi dengan baik.

“Memang setiap jurulatih mahukan keputusan yang baik.

Bagi Sarawak, kita tidak mahu menjadi pasukan belasahan,” katanya.

Tambah Ronny, beliau akan sentiasa meniup katakata semangat kepada rakan sepasukan khususnya yang diperkenalkan agar sentiasa beraksi dengan baik.

Beliau juga berharap empat pemain import baharu yang diperkenalkan nanti dapat menggunakan pengalaman mereka di arena antarabangsa membantu skuad itu meraih keputusan baik.

“Setakat ini, dua pemain import yang telah dipilih (Mark Andrew Hartman dan dan Lee Jong Ho) telah menunjukkan keserasian yang baik dengan rakan sepasukan yang lain,” katanya.

Sarawak sedang menguji empat pemain luar ketika ini untuk mengisi dua lagi kuota pemain import di posisi penyerang dan pertahanan.

Ketua Jurulatih David Usop ketika ditanya mengesahkan seorang lagi pemain import dijangka tiba hari ini untuk mencuba nasib.

Skuad itu dijadual menentang Sabah dalam aksi persahabatan di Stadium Negeri, Petra Jaya (jam 8.

15 malam) pada Ahad ini.

Sarawak akan membuka tirai Liga Super 2017 menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu pada 21 Januari.