Saingan Piala Residen Serian mula 5 Mac depan

0

KUCHING: Selepas kejayaan edisi pertama tahun lalu, saingan bola sepak berprestij Piala Residen Serian akan kembali menemui peminat pada 2017.

Untuk edisi kedua itu dijangka bermula pada 5 Mac depan dengan penganjur, Kelab Belia Kampung Lanchang Sabai menetapkan slot hanya dibuka kepada 64 pasukan sahaja.

Jurucakap penganjur, Johney Siroh berkata kejohanan tersebut terbuka kepada mana-mana pasukan yang berminat dengan yuran penyertaan ditetapkan sejumlah RM320 setiap pasukan.

“Pasukan bertanding wajib mendaftar 16 orang pemain dan seorang jurulatih.

Cabutan undi dijangka diadakan pada 19 Februari ini dan dijangka bermula pada 5 Mac nanti sehingga pertengahan Julai,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, format edisi kali ini kekal seperti tahun lepas iaitu kalah mati.

Juara bakal menerima hadiah wang tunai RM2,100, piala pusingan, piala iringan dan pingat.

Naib juara bakal meraih RM1,600, piala dan pingat, tempat ketiga menerima RM800, piala dan pingat dan keempat merangkul RM550, piala dan pingat.

Pemain Terbaik dan Penjaring Terbanyak kejohanan masing-masing akan meraih RM150 manakala Pasukan Terbaik menerima RM100.

Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran dan pertandingan hubungi Johney di talian 014-6992792 dan Maradona Midon di talian 019-2598598.

Rimong Croc muncul juara edisi pertama tahun lalu selepas menundukkan Keling Kenyalang dengan 3-0.