Sarawak diyakini jadi penyumbang besar kemenangan BN pada PRU14

0

KUCHING: Sarawak diyakini akan terus menjadi penyumbang besar kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahli Parlimen Santubong juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai PRU14 yang dijangka diadakan pada suku ketiga tahun ini.

Menurut beliau, Sarawak sentiasa berada pada landasan dengan pendekatan serta populariti Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem selain kekuatan komponen parti BN khasnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Dari sudut PRU, saya percaya penyandang akan terus mengekalkan kerusi masing-masing dan Sarawak sentiasa berada pada landasan untuk pilihan raya.

“Kita tidak boleh mengambil mudah terutama kawasan bandar bagi mendapatkan sokongan melalui strategi atau pendekatan lebih baik kepada rakyat.

“Saya menafikan mengenai trend pengundian bahawa Cina di bandar tidak menyokong kerajaan, kerana sebenar ia berkaitan isu calon di kerusi berkenaan.

“ Ini kereana mereka  perlu membuktikan siapa mereka untuk rakyat,” katanya dalam temubual bersama Utusan Borneo di pejabatnya di sini, semalam.

Jelas Wan Junaidi, calon berkaitan tidak harus hanya mewujudkan dasar untuk diri sendiri atau kroni mereka tetapi perlu merangkumi semua orang bagi menyokongnya.

Katanya calon di kerusi bandar dipilih, sebaliknya perlu menggunakan dasar BN atau pendekatan rakyat Malaysia iaitu dengan tidak hanya merujuk atau mengambil kira berdasarkan etnik sahaja.

“Calon harus menggunakan pendekatan betul dan dilihat, bukan satu tempat sahaja. Justeru, ia akan terus membantu menguat lagi BN Sarawak untuk menang dan menyumbang besar di kerajaan pusat,” tegasnya.

Mengulas mengenai laporan Pasukan Penyelidikan Sulit Financial Times yang menjangkakan bahawa suku ketiga tahun ini masa sesuai PRU14 dengan Perdana Menteri dapat mengekalkan cengkaman kuasanya, Wan Junaidi tidak menafikan tahun ini dan awal tahun depan sebagai ‘tahun pilihan raya’.

“Ini kerana kerajaan khasnya kepimpunan Perdana Menteri telah berjaya mengukuhkan ekonomi, kewangan, pembangunan, kepelbagaian ekonomi serta sosial kepada negara ini.

“Malahan sebelum ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menyatakan kepada semua Ahli Parlimen bahawa tahun 2017 adalah untuk turun padang dan ini sudah menjadi petunjuk kepada PRU bakal diadakan.

“Saya tidak menafikan tahun 2017 dan awal tahun depan adalah tahun pilihan raya. Tiada bezanya cuma kini adalah wakil rakyat perlu membuktikan diri mereka melalui khidmat kepada rakyat di kawasan,” ujarnya.

Tambah beliau, kini populariti Perdana Menteri juga semakin meningkat meskipun sentiasa diserang pembangkang dengan sabotaj, pembohongan serta maklumat tidak benar tetapi Najib dapat melakukan yang terbaik.

“Secara keseluruhan situasi kini lebih mantap dan keduanya dengan sikap pembangkang yang berlawan sesama sendiri dan tidak sependapat pastinya menyumbang kepada kelemahan pembangkang.

“Cuma kita mahu ingatkan kepada rakyat agar tidak terpengaruh dan percaya 100 peratus apa yang disebarkan kerana kesilapan kita hanya akan memusnahkan kestabilan negara,” kata beliau sambil menambah rakyat perlu membuat pilihan yang betul bagi agar negara terus stabil dan harmoni.