Ariez mengorak langkah jadi jurulatih tenis sepenuh masa

0

KUCHING: Bekas atlet SUKMA Sarawak, Elyaas Ariez Deen Hesham mengambil langkah penting dalam kerjaya tenisnya dengan menjadi jurulatih sepenuh masa bersama Sportime dan JMTA di New York, Amerika Syarikat pada Disember lalu.

Sportime di bawah Akademi Tenis John McEnroe yang berpangkalan di New York City, Long Island dan Westchester terkenal dengan program pembangunan tenis belia dan dewasa.

Presiden Persatuan Tenis Sarawak (SLTA), Datuk Patrick Liew berbangga dengan perkembangan Ariez yang kini melanjutkan kerjaya selaku jurulatih.

“Ia akan menjadi satu pengalaman yang baik untuk beliau sebagai jurulatih di negara asing dan JMTA merupakan akademi tenis terkemuka dan bereputasi.

“Pengalaman latihan yang baik akan menjadi perkembangan kerjaya sukan tenis,” katanya.

Menurut Patrick, tidak ramai bekas pemain negeri mengambil keputusan untuk menjadi jurulatih selepas tamat pengajian tinggi di luar negara.

“Ariez kini berusia 22 tahun merupakan produk program pembangunan tenis sekolah tinggi dan beliau mewakili Sarawak pada SUKMA Melaka 2012 dan SUKMA 2014 serta membantu Sarawak memenangi pingat emas,” katanya.

Ariez adalah salah seorang pemain muda yang mewakili negara pada kejohanan tenis berprestij, Piala Davis seawal usia 16 tahun.

Berada di ranking 309 dalam senarai ITF merupakan kejayaan manis Ariez selain beraksi pada Sirkit ITF Lelaki dan meneruskan karier pemain profesional sebelum mewakili Universiti Cumberlands ketika melanjutkan pengajian di institusi itu.

Di universiti tersebut, Ariez merupakan pemain nombor satu pasukannya selama empat tahun dan membantu universiti itu layak ke kejohanan tenis kebangsaan dan meraih banyak anugerah seluruh Amerika Syarikat.