LBR: Langkah kanan buat pasukan Serian

0

SERIAN: Langkah kanan buat pasukan Serian apabila melakarkan kemenangan bergaya dengan 4-0 ketika melayan kunjungan Limbang pada Pusingan Kelayakan Peringkat Kebangsaan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2016 kelmarin.

Saingan penuh dramatik di Kompleks Sukan Serian itu menyaksikan pendatang baharu LBR tidak berdepan masalah ketika mengaibkan lawan di laman sendiri.

Kejayaan itu membolehkan Serian menarik nafas lega kerana mengesahkan slot ke peringkat kebangsaan.

Pengurus pasukan, Phillip Jabu berkata pemain-pemain harus diberikan pujian dan kredit atas usaha keras memastikan kemenangan dalam saingan LBR.

Menurutnya, skuad Serian mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan malah setiap percaturan mampu dilaksanakan dengan baik.

“Kita bersyukur dengan kemenangan ini, meskipun terpaksa bermain dalam keadaan hujan lebat yang telah merencatkan sedikit rancangan.

“Tetapi apa yang penting kita bersyukur dapat meraih tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Phillip berkata faktor cuaca tidak membantutkan semangat juang anak-anak buahnya untuk terus menjaringkan gol.

Pada aksi tersebut, bekas penyerang Sarawak, Hadera Bakeri mencipta hatrik menjaringkan gol pada minit ke-19, 30, dan 82.

Manakala satu lagi gol dijaringkan Paul Sambang pada minit ke-55 menerusi sepakan penalti.