Perlu ada pendekatan pelajar KV lanjut pengajian ke UA

1

Syarat yang dikenakan UA amat ketat dan tidak munasabah

KENINGAU: Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Keningau (KVK) Yazid Mohd Hasnan Tawik meminta kerajaan mencari satu pendekatan agar pelajar Kolej Vokasional (KV) yang mempunyai Diploma Vokasional Malaysia (DVM)  dapat melanjutkan pengajian mereka ke universiti awam (UA).

“Kita mahu selepas sahaja pelajar KV mendapat DVM mereka tidak membuang masa tetapi dapat meneruskan pengajian mereka ke universiti awam,” katanya kepada Utusan Borneo di sini kelmarin.

Yazid  yang juga Ketua Biro Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Pendidikan UMNO Bahagian Keningau berkata, syarat yang ditetapkan oleh UA bagi pengambilan pelajar KV yang memiliki DVM untuk meneruskan pengajian mereka amat ketat dan tidak munasabah.

Katanya, dengan syarat itu juga akan menjejaskan masa depan graduan DVM di KV di seluruh negara ini untuk meningkatkan ilmu mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Sedangkan pada masa yang sama kerajaan mahukan pelajar- pelajar untuk menimba ilmu hingga ke menara gading.

“Pelajar yang belajar untuk memperolehi DVM di kolej-kolej vokasional di negara ini telah mengambil masa empat tahun berada di KV tetapi DVM yang mereka miliki ini tidak pula mendapat pengiktirafan oleh pihak UA kerana semata mata tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Yazid yang mengulas laporan yang disiarkan oleh sebuah akhbar nasional pada Jumaat.

Katanya, sebelum program DVM ini diperkenalkan di KV kerajaan sepatutnya telahpun membuat satu ketetapan bahawa DVM yang diperolehi di kolej itu boleh diterima untuk ke UA.

Menurut beliau, pelajar mengikuti kursus DVM di KV sepatutnya diberikan laluan berbeza dengan pelajar SPM kerana pelajar KV mempunyai latar belakang vokasional dan teknik.

“Saya meminta kerajaan dapat menyarankan kepada UA agar mempermudahkan syarat berkenaan bagi memberi peluang dan galakkan kepada para pelajar lepasan DVM di KV untuk melanjutkan pengajian mereka.

Yazid memberitahu bahawa seramai 750 orang pelajar di KVK sedang menjalani kursus DVM di kolej itu.

Katanya, KVK menawarkan 12 kursus kemahiran terdiri teknologi automotif, aeknologi elektrik, teknologi pembinaan, teknologi kimpalan, katering, bakeri, pendidikan awal kanak-kanak, pengurusan perniagaan, seni kecantikan, rekaan fesyen, amalan bengkel dan elektronik.

Pada Jumaat, akhbar berkenaan melaporkan bahawa pelajar lepasan Kolej Vokasional (KV) tidak layak melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda meskipun mempunyi Diploma Vokasional Malaysia (DVM) kerana universiti awam (UA) tidak mengiktiraf diploma terbabit.

Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menetapkan antara syarat kelayakan untuk memasuki program Ijazah Sarjana Muda ialah mempunyai SPM namun graduan DVM tidak menduduki peperiksaan itu.

Lapor akhbar itu, pelajar terbabit memasuki KV menggunakan keputusan Pentaksiaran Tingkatan 3 (PT3) dan mengikuti kursus kemahiran itu selama empat tahun tanpa perlu menduduki SPM untuk memperolehi DVM.

Isu ini timbul berikutan kegusaran ibu bapa pelajar KV mengenai masa depan anak mereka selepas tamat pengajian DVM kerana mereka juga tidak layak untuk bekerja di sektor awam atas alasan sama, tidak memiliki SPM.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antrabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Dr Rosli Mohd Yunus dipetik berkata MTUN hanya bersedia menerima graduan DVM bagi memgikuti program teknologi kejuruteraan dengan syarat mereka mengikuti kursus peralihan selama satu atau dua semester di empat universiti MTUN.