Projek perintis ‘MyBeautiful New Home’ siap pada April

0

LUMUT: Projek pertama pembangunan 50 unit rumah ‘MyBeautiful New Home’ yang merupakan inisatif kerajaan persekutuan membantu kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah di Manjung dijangka siap pada April.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar berkata urusan kerja-kerja pembinaan bagi projek berkenaan akan bermula pada minggu depan selepas pelantikan kontraktor selesai pada Rabu.

“Minggu depan kontraktor akan masuk ke tapak dan melakukan pelbagai kerja termasuk pembersihan.

“Kita jangka akan siap menjelang April untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lancar dan memberi kunci kepada keluarga yang berjaya (dalam permohonan),” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek MyBeautiful New Home di Batu 10 Lekir, dekat sini semalam.

Menurut Mohd Irwan, projek tersebut mampu disiapkan dalam tempoh yang cepat kerana pembinaannya menggunakan konsep Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang membolehkan satu unit rumah disiapkan dalam tempoh hanya sembilan hari.

Katanya projek itu juga menerapkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kerana ia antara lain turut melibatkan kira-kira 200 pelajar Kolej Komuniti dan Politeknik dari seluruh Perak yang mengikuti bidang pembinaan.

Tambahnya setiap unit rumah yang berkeluasan 750 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air serta ruang tamu dan akan dijual pada harga RM40,000.

Katanya daripada RM40,000 itu sebanyak RM20,000 akan ditanggung oleh kerajaan, manakala bakinya dibiayai sendiri oleh pemohon yang dipilih oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata perbincangan akan diadakan dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) mengenai pinjaman kepada pemohon yang antara lain akan meminta pertimbangan untuk tempoh panjang bagi bayaran balik pinjaman.

“Ini bagi memastikan peminjam tidak terbeban. Tapi peminjam juga kena bagi komitmen dalam bayaran balik kerana segala kemudahan prasarana ditanggung oleh kerajaan, telah disediakan,” katanya.

Tambah Mohd Irwan, negeri lain yang turut menyatakan minat untuk membangunkan projek perumahan itu termasuk menyediakan tapak adalah Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2017 mengumumkan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk projek MyBeautiful New Home khusus bagi kumpulan B40. — Bernama