RM250,000 projek air graviti beri manfaat lima kampung mukim Bingkor

0
PROJEK AIR: Stephen (duduk, tiga kanan) mengadakan sidang media bersama Peter (duduk, dua kiri) dan Chan (duduk tiga kiri).

PROJEK AIR: Stephen (duduk, tiga kanan) mengadakan sidang media bersama Peter (duduk, dua kiri) dan Chan (duduk tiga kiri).

KOTA KINABALU: Lima kampung di mukim Bingkor akan menerima bekalan air melalui projek air graviti.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah Stephen Wong berkata projek berkenaan bagi membantu penduduk kawasan terlibat mendapatkan akses air bersih.

“Projek bagi membantu penduduk setempat ini akan melibatkan lima kampung di Mukim Bingkor sepanjang 21 kilometer (km).

“Projek air graviti yang dijalankan syarikat Impian Malaysia dan Impian Sabah ini bernilai RM250,000,” katanya pada sidang media DAP Sabah, di sini kelmarin.

Pada sidang media berkenaan, Naib Pengerusi DAP Sabah merangkap Ketua Pedalaman DAP Sabah Peter Saili berkata, projek air graviti yang dijalankan itu akan dapat diakses sebanyak 282 isi rumah dengan kira-kira 2,000 penduduk dari kampung sekitarnya.

Tambahnya, projek berkenaan turut mendapat bantuan daripada sukarelawan dan juga kerjasama penduduk setempat.

Menurutnya, selain mukim Bingkor projek berkenaan juga telah dijalankan di Kampung Linsosod Liawan dan dua kawasan Parlimen di pedalaman iaitu Tenom dan Pensiangan.

“DAP sudah melakukan banyak perkara terutamanya yang melibatkan sosio ekonomi di tiga kawasan parlimen iaitu Keningau, Tenom dan Pensiangan.

“Di Tenom kami telah meletakkan sistem air graviti di Pangi bagi membantu penduduk yang tidak mendapat akses air bersih sejak dulu lagi.

“Manakala di Pensiangan, terdapat kira-kira lima sistem air graviti,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin.