Artifak ditemui di tapak binaan

0
NILAI SEJARAH: Mohd Sherman menunjukkan salah satu artifak yang ditemui di tapak pembinaan sistem perparitan di Jalan Khoo Hun Yeang. — Gambar Bernama

NILAI SEJARAH: Mohd Sherman menunjukkan salah satu artifak yang ditemui di tapak pembinaan sistem perparitan di Jalan Khoo Hun Yeang. — Gambar Bernama

KUCHING: Sebanyak 286 artifak dengan pengaruh Dinasti Qing, Indo-China dan Eropah ditemui di tapak pembinaan sistem perparitan di Jalan Khoo Hun Yeang di sini dalam tempoh empat hari sejak Jumaat lepas.

Penolong Kurator Jabatan Muzium Sarawak Mohd Sherman Sauffi berkata artifak yang terdiri daripada tembikar tanah, gelas serta seramik itu ditemui sekumpulan pekerja berhampiran Balai Polis Sentral Kuching pada kedalaman 1.5 meter.

“Antara yang ditemui ialah tembikar biru dan putih dari zaman Dinasti Qing dan seramik dengan unsur-unsur dari Si Satchanalai, sebuah kawasan penghasilan seramik terkemuka di Asia Tenggara,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohd Sherman berkata pihaknya sedang melakukan inventori dan kesemua artifak tersebut akan diklasifikasi secara terperinci berdasarkan pengaruh, reka bentuk dan warna.

“Kebanyakan artifak terbabit mungkin juga barangan buangan kerana tidak lengkap seperti sudah pecah,” katanya.

Mohd Sherman yang juga Ketua Seksyen Arkeologi jabatan itu, berkata laporan mengenai artifak akan dikongsi dengan pakar yang berkenaan sebaik kerja-kerja inventori selesai.

Ditanya mengenai kepentingan penemuan itu, beliau berkata artifak terbabit boleh menceritakan kehidupan harian di Kuching pada zaman tersebut.

“Kuching memang terkenal sebagai pusat perdagangan dan saya yakin lebih banyak artifak akan ditemui,” katanya yang turut meminta orang ramai memaklumkan kepada Jabatan Muzium sekiranya menemui sebarang artifak. — Bernama