Perlawanan bola sepak amal bantu mangsa kebakaran

0
SUMBANGAN: Latif (kiri) menyampaikan sumbangan LAKIB kepada Abdul Kadir sambil disaksikan pasukan peminat Machester United dan Liverpool sebelum perlawanan amal malam kelmarin.

SUMBANGAN: Latif (kiri) menyampaikan sumbangan LAKIB kepada Abdul Kadir sambil disaksikan pasukan peminat Machester United dan Liverpool sebelum perlawanan amal malam kelmarin.

BINTULU: Perlawanan bola sepak amal membantu mangsa kebakaran Kampung Dato, Abdul Kadir Omar yang juga bekas pemain Bintulu era 1990-an mendapat sambutan memberangsangkan daripada pemain dan peminat kelab gergasi Liga Perdana Inggeris malam kelmarin.

Perlawanan itu membabitkan pasukan Manchester United Fan (jersi putih) dan Liverpool Fan (jersi merah) jam 8 malam di Padang Turf Dewan Suarah.

Penyertaan peminat dalam perlawanan itu turut menderma kepada tabung khas membantu Abdul Kadir yang kediamannya serta harta bendanya musnah dalam kebakaran di Kampung Dato, Jalan Masjid pada 31 Disember lalu.

Sumbangan daripada pemain- pemain disampaikan oleh Mehdi Yahya mewakili bekas pemain Bintulu (Binexplayer) kepada Abdul Kadir.

Manakala Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) turut menyumbang sejumlah RM1,500 disampaikan oleh Setiausaha LAKIB merangkap Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (SABERKAS) Jepak, Latit Upit.

Diikuti syarikat Saban Jaya Enterprise menyumbang RM1,000 yang disampaikan oleh pengurusnya, Mohd Akmal Abdullah.

Latif berkata, ini merupakan sebahagian sumbangan untuk meringankan bebanan Abdul Kadir dan keluarganya yang ditimpa musibah kebakaran.

Lain-lain penerima telah menerima sumbangan masing- masing di kediaman Ketua Kaum Kampung Dato, Kaderi Junaidi.

Dalam pada itu, Mehdi berkata derma bantuan yang dikutip daripada bekas pemain Bintulu dan peminat dua kelab Liga Perdana Inggeris adalah khusus untuk Abdul Kadir yang juga merupakan bekas pemain pasukan Bintulu pernah bersama- sama mengharumkan nama Bintulu satu ketika dahulu.

“Justeru itu, aktiviti amal untuk membantu masyarakat ditimpa kesusahan tidak terhenti di situ tetapi diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama menyaksikan penyampaian sumbangan tersebut ialah Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Bintulu, Nik Muhammad Asraff Nik Mod Kamal.

Perlawanan bola sepak amal itu merupakan anjuran SABERKAS Jepak, Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Bintulu dan kumpulan pemain dan bekas pemain Bintulu, Binexplayers.