8 Rejimen Sempadan muncul wira Tinju Peringkat 31 Briged

0
SUAI KENAL: Fadzil bersuai kenal dengan pasukan tinju di bawah 31 Briged.

SUAI KENAL: Fadzil bersuai kenal dengan pasukan tinju di bawah 31 Briged.

BAU: Pasukan 8 Rejimen Sempadan (RS) muncul wira apabila menjuarai secara keseluruhan Kejohanan Tinju Peringkat 31 Briged yang melabuhkan tirai saingan akhirnya di Kem Puncak Permai, kelmarin.

Meskipun ketinggalan pada awal saingan yang didominasi pasukan 10RS namun 8RS tidak berputus asa sebelum memintas pendahulu carta dalam pusingan akhir.

Dipisahkan dengan satu mata, ia sudah memadai buat 8RS untuk menjulang trofi kejohanan ketika mengumpul 75 mata berbanding 10 RS dengan 74 mata.

Tempat ketiga pula, dimenangi pasukan 7RS, manakala tempat keempat disandang oleh pasukan 6RS.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Panglima 31 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Fadzil Tajudin.

D alam ucapan ringkasnya, beliau berkata sukan tinju sinonim dengan tradisi ketenteraan bukan sahaja di peringkat tempatan malah kebangsaan.

Katanya, menerusi sukan ini dapat meningkatkan jati diri di samping menanam semangat juang tinggi kalangan anggota.

“Walaupun nampak kasar, sukan ini mampu menyatupadukan dan meningkatkan semangat setia kawan dan perpaduan yang utuh,” katanya pada majlis penutupan kejohanan tersebut di Tondong dekat sini malam kelmarin.

Dalam saingan akhir, sebanyak 10 perlawanan berlangsung membabitkan 10 kategori yang disertai pegawai dan anggota 31 Briged.

Kejohanan berlangsung sejak 6 Januari lalu disertai sebanyak enam pasukan bagi mencari pasukan tinju mewakili 31 Briged pada kejohanan peringkat 1 Divisyen nanti.

Tambahnya, penganjuran tersebut merupakan landasan terbaik menghasilkan peninju bermutu dalam sukan itu.