DBKK kutip kompaun berjumlah rm3.4 juta sepanjang 2016

0

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengumpul RM3.4 juta hasil kutipan kompaun sepanjang 2016, kata Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai.

Beliau berkata jumlah kutipan kompaun berkenaan menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM4.1 juta.

“Penurunan itu disebabkan tindakan penguatkuasaan pada tahun lepas (2016) yang lebih memfokuskan kepada tindakan pendakwaan di mahkamah.

“Pada 2016 sebanyak 2,221 pesalah letak kereta telah didakwa di mahkamah dan jumlah itu meningkat berbanding hanya 1,114 yang didakwa pada 2015,” katanya ketika berucap sempena Perhimpunan Bersama Mayor dan Majlis Pemakaian Ketandaan Pangkat, Jabatan Penguatkuasaan DBKK, di sini pada Isnin.

Beliau berkata Jabatan Penguatkuasaan DBKK menunjukkan perkhidmatan cemerlang sepanjang 2016 kerana berjaya menyelesaikan kesemua 839 aduan yang diterima daripada orang awam.

“Selain itu tindakan lebih tegas telah diambil oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKK ke atas pesalah di bawah Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap. Sebanyak 188 kertas siasatan dibuka berhubung kesalahan itu pada tahun lepas dan 161 pesalah daripada jumlah itu telah didakwa di mahkamah,” kata Yeo.

Pada majlis itu, seramai 21 pegawai menerima ketandaan pangkat sebagai Inspektor.

Mengulas mengenai majlis itu, Yeo berkata ketandaan pangkat itu bertujuan untuk menghargai jasa dan perkhidmatan terbaik setiap pegawai dalam melaksanakan tugas harian masing-masing.

“Kepada yang belum menerima kenaikan pangkat, janganlah berkecil hati dan tingkatkan usaha serta terus memberi perkhidmatan cemerlang agar berpeluang mendapat kenaikan pangkat di masa akan datang,” katanya.

Beliau juga menasihatkan semua anggota dan pegawai penguat kuasa DBKK agar sentiasa mengamalkan nilai integriti, menjaga disiplin dan berketrampilan kemas sepanjang menjalankan tugasan supaya tidak dipandang rendah oleh orang awam. – Bernama