Faiz Subri cetus inspirasi

0
TAHNIAH: Faiz Subri menerima Anugerah Puskas pada majlis gilanggemilang di Zurich, Switzerland pada awal pagi semalam. — Gambar Reuters

TAHNIAH: Faiz Subri menerima Anugerah Puskas pada majlis gilanggemilang di Zurich, Switzerland pada
awal pagi semalam. — Gambar Reuters

KUALA LUMPUR: Kejayaan Mohd Faiz Subri meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 memberi inspirasi kepada pemain bola sepak negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kejayaan yang dicipta penyerang Pulau Pinang itu melalui hasil keunikan sepakan percuma, pada majlis gilang-gemilang di Zurich, Isnin (awal pagi Selasa di Malaysia) juga mengharumkan nama Malaysia.

“Tahniah Faiz Subri! Kejayaan anda dlm #FIFAPuskasAward 2016 akan beri inspirasi kepada semua pemain bola sepak Malaysia dan juga harumkan nama negara!,” katanya dalam laman Facebook dan Twitternya hari ini.

Jaringan menarik Mohd Faiz itu menerima undian sebanyak 59.46 peratus mengalahkan dua lagi calon – Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang mendapat 22.86 peratus dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela, 10.01 peratus.

Mohd Faiz menerima anugerah tersebut daripada bekas penyerang sensasi Brazil, Ronaldo.

Gol tercantik dunia oleh Mohd Faiz itu adalah melalui sepakan percuma semasa perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada perlawanan Liga Super, 16 Feb tahun lepas.

Pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puska, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kejayaan Mohd Faiz mengharumkan nama negara di persada bola sepak antarabangsa.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah, itu selepas diumumkan selaku pemenang Anugerah Bola Sepak FIFA 2016 di Zurich, Switzerland, awal semalam.

“Tahniah Faiz Subri memenangi FIFA PUSKAS Award 2016.

Alhamdulillah berkat usaha membuahkan hasil, harumkan nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya dalam catatan di laman Twitternya.

Sementara itu, segenap lapisan masyarakat Malaysia tidak melepaskan peluang melalui media sosial untuk mengucapkan tahniah kepada Mohd Faiz selepas pengumuman tersebut.

Ia termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam akaun Twitternya, yang berkata tiada ucapan tahniah yang boleh menggambarkan kebanggaan negara terhadap pencapaian penyerang Pulau Pinang itu.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dalam akaun Twitternya berkata: “Tahniah Faiz (Congratulation Faiz).

‘We salute you’ (Kami tabik anda)”.

Pengguna Twitter, @aiemiemyra berkata ia adalah berbaloi untuk menunggu di hadapan televisyen untuk mendengar ucapan daripada Mohd Faiz.

Seorang lagi pengguna Twitter, @jimmylajim berharap pencapaian Mohd Faiz itu dapat memberi inspirasi kepada ramai pemain bola sepak muda Malaysia untuk meraih pengiktirafan antarabangsa pada masa depan.

Justeru, Kerajaan Pulau Pinang akan memberi ganjaran kepada Mohd Faiz selepas beliau dinobat sebagai pemenang anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang diumum awal semalam.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata perbincangan akan diadakan terlebih dahulu sebelum memutuskan apakah bentuk sumbangan sebagai menghargai jasa pemain tengah itu setelah mengharumkan nama negeri dan negara.

“Pencapaian Mohd Faiz adalah sesuatu yang unik kerana beliau merupakan rakyat Malaysia pertama berdiri di pentas yang disaksikan seluruh dunia (dalam bidang bola sepak).

“Ingin saya tegaskan, kejayaan Mohd Faiz adalah kerana kerja kuat, dedikasi dan disiplin beliau sebagai seorang pemain bola sepak dan ia bukanlah kerana hanya nasib,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam. —Bernama