Formula khas atasi isu minyak masak subsidi

0
TINJAU: Jainab menjalankan tinjauan ke lokasi berkaitan jaringan minyak masak bersubsidi di Tawau, seperti kilang pembekal, pemborong dan kedai-kedai runcit.

TINJAU: Jainab menjalankan tinjauan ke lokasi berkaitan jaringan minyak masak bersubsidi di Tawau, seperti kilang pembekal, pemborong dan kedai-kedai runcit.

TAWAU: Kerajaan bersetuju mewujudkan satu formula khas untuk memastikan kitaran peredaran minyak masak bersubsidi di pasaran tempatan dapat dijalankan secara sistematik.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, langkah itu penting untuk memastikan bekalan berkenaan sampai kepada rakyat, khususnya golongan B40.

“Kita sudah berbincang supaya satu formula baharu dibentuk untuk menangani isu sebegini daripada terus berlarutan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjalankan pemantauan bekalan itu di kilang pembekal, pemborong dan peruncit di sini, kelmarin.

Menurutnya kesukaran mendapatkan bekalan itu kemungkinan besar berpunca akibat pengedarannya di pasaran yang tidak sistematik, pembelian panik, tamak dan ketirisan.

“Hasil pemantauan turun padang yang dijalankan mendapati, bekalan minyak masak bersubsidi sebenarnya adalah mencukupi untuk menampung permintaan di negeri ini.

“Malah di Tawau misalnya, kapasiti pengeluaran oleh kilang pembekal kepada lima syarikat (pemborong) di sini mencapai 700 tan metrik (MT) sebulan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan supaya langkah proaktif diambil oleh agensi dan jabatan bertanggungjawab untuk mengatasi isu terbabit, termasuk kerjasama orang ramai.

Jainab juga meminta penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya sentiasa turun padang tanpa memakai uniform.

“Kita mahu isu ini diatasi dengan baik dan amat penting untuk penguat kuasa KPDNKK menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bekalan dengan cara sebegini,” katanya.

Pihaknya turut menyedari berlakunya trend penjaja dan pengusaha restoran yang turut berlumba dengan golongan B40 membeli minyak masak bersubsidi.

“Kita mahu pastikan formula baharu yang diwujudkan nanti akan turut melihat perkara ini dan pada masa sama, kita memahami kesukaran perniagaan yang dihadapi peniaga,” katanya.