Gegar terasa di limbang

0

Oleh Mastura Ismail//

KELUAR: Kakitangan kerajaan yang bergegas keluar dari bangunan Limbang Plaza semalam.

KELUAR: Kakitangan kerajaan yang bergegas keluar dari bangunan Limbang Plaza semalam.

LIMBANG: Lebih 100 kakitangan kerajaan dalam bangunan Limbang Plaza di sini bergegas keluar menyelamatkan diri masing-masing apabila berasa gegaran di bangunan itu selepas gempa bumi melanda selatan Filipina, petang semalam.

Gegaran agak kuat itu berlaku kurang seminit sekitar jam 2.31 petang dam dirasai di tingkat empat hingga lapan bangunan berkenaan yang menempatkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Pejabat Daerah dan Residen.

Seorang kakitangan kerajaan Gadong Asai, 55, berkata gegaran dirasai ketika beliau berada di pejabatnya, JKR petang semalam.

“Gegaran dirasai ketika saya sedang sibuk membuat kerja pejabat. Kepala saya seperti bergoyang. Gegaran sama turut dirasai kakitangan lain dan kami bergegas keluar menyelamatkan diri,” katanya.

Jelas Gadong lagi, kejadian itu dirasai buat pertama kalinya sejak beliau berkhidmat di bangunan berkenaan lebih 20 tahun.

Katanya, kejadian itu berlaku begitu pantas, namun tiada kerosakan dan kecederaan dilaporkan berlaku.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Limbang Tawang Lingem berkata seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 2.31 petang.

Katanya, pemantauan dilakukan di kawasan bilik kawalan, bilik pam dan bilik kawalan penyaman udara di bangunan sembilan tingkat itu.

“Hasil pemantauan mendapati bangunan Limbang Plaza selamat dan tiada kesan rekahan akibat gegaran itu,” katanya semalam.

Beliau mengumumkan bangunan itu selamat digunakan sekitar jam 3.05 petang semalam.

Dalam pada itu, maklumat dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada jam 2.30 petang semalam menyatakan gempa bumi bermagnitud 7.3 skala Richter berlaku pada jam 2.13 petang berkoordinat 4.4 Utara dan 122.7 Timur, di lokasi Laut Celebes iaitu 466 kilometer ke timur laut Semporna, Sabah.

Menurut kenyataan itu lagi tiada ancaman tsunami dan gegaran turut dirasai di Sabah.