Jurukimpal cedera selepas terjatuh dari atas bangunan

0

KUCHING: Seorang jurukimpal dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan di bahagian belakang badannya selepas terjatuh dari tingkat atas bangunan di sebuah taman bunga di Petra Jaya, semalam.

Mangsa berusia 40-an itu semasa kejadian dikatakan sedang bekerja apabila dia gagal mengimbangi badannya lalu terjatuh sekitar jam 10 pagi.

“Rakan-rakan mangsa yang melihat kejadian tersebut kemudian membantu mangsa dan terpaksa mendapatkan bantuan ambulans apabila mangsa mengadu sakit di bahagian belakang badannya dan perlu dikejarkan ke HUS untuk rawatan,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan di HUS.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang remaja tercedera selepas motosikal yang ditungganginya melanggar lubang jalan semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya semalam.

Difahamkan, mangsa yang berusia 17 tahun semasa kejadian dalam perjalanan menunggang motosikal seorang diri menuju ke arah Bandar Baru Samariang sekitar jam 2 pagi.

“Bagaimanapun, setiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak lubang di atas jalan raya lalu melanggarnya menyebabkan dia gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas.

“Ekoran itu, mangsa tercampak beberapa meter dari atas motosikalnya,” kata sumber yang turut memberitahu mangsa sempat menghubungi ahli keluarganya untuk bantuan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke HUS oleh keluarganya untuk mendapatkan rawatan lanjut.