Lompat keluar kereta bergerak elak dirogol

0

MIRI: Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini patah kaki kiri setelah bertindak nekad melompat keluar dari sebuah kenderaan yang sedang bergerak untuk mengelak menjadi mangsa rogol seorang rakan lelakinya.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa kelmarin.

Dalam aduannya, ibu berusia 37 tahun itu mendakwa, sekitar jam 11 pagi 9 Januari lalu, beliau telah dimaklumkan oleh anak perempuannya yang berusia 16 tahun bahawa dia sedang mendapatkan rawatan di Hospital Miri.

Mangsa memberitahu ibunya (pengadu) bahawa dia telah mengalami kecederaan patah kaki sebelah kiri kerana melompat keluar dari sebuah kereta untuk mengelak daripada dirogol oleh seorang rakan lelakinya.

Berikutan itu, pengadu terus bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Khoo Leng Huat dalam kenyataan medianya mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kes itu.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa telah keluar bersama dua rakan lelaki menaiki sebuah kereta pada malam 8 Januari lalu.

“Seorang daripada lelaki itu telah memandu kereta menuju ke arah Batu 1 Kuala Baram dan enggan menghantar mangsa pulang ke rumah.

“Manakala seorang lagi yang duduk bersama mangsa di bahagian belakang telah ‘mengganggu’ mangsa,” katanya.

Berikutan itu, kata Khoo, mangsa bertindak nekad dengan melompat keluar dari kenderaan yang sedang bergerak untuk mengelak menjadi mangsa rogol rakan lelakinya itu hingga menyebabkan dia cedera dan patah kaki sebelah kiri.

Melihat keadaan mangsa yang cedera, dua rakan terbabit kemudian menghantar mangsa ke unit kecemasan Hospital Miri pada malam kejadian untuk mendapatkan rawatan.

 

 

“Doktor yang merawat mangsa mengesahkan bahawa mangsa mengalami patah kaki kiri dan calar di kedua-dua belah tangan,” ujar beliau lanjut.

Dalam pada itu, kata Khoo, bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 11.50 malam kelmarin, polis berjaya menangkap seorang remaja lelaki 17 tahun di sebuah rumah di Senadin kerana disyaki terlibat dalam kes itu.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sebuah kenderaan dan anak kunci untuk dijadikan barang kes.

Manakala, suspek kedua berusia 18 tahun ditangkap pada jam 1.35 pagi semalam kerana dipercayai turut terlibat dalam kes tersebut.

Sehubungan itu, kata Khoo, kedua-dua suspek akan disoal siasat lanjut mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan cubaan merogol.