Pemilik tidak sedar lori seret anjing peliharaannya

0
SIDANG MEDIA: Mohd Bukhori (tengah) menunjukkan gambar yang tular dalam media sosial pada sidang media, semalam.

SIDANG MEDIA: Mohd Bukhori (tengah) menunjukkan gambar yang tular dalam media sosial pada sidang media, semalam.

LIMBANG: Ternyata amat menyayat hati apabila seekor anjing maut selepas diseret lebih 10 kilometer oleh pemiliknya yang tidak menyedari anjing peliharaannya tersangkut di belakang lori dipandunya dalam kejadian di sini.

Kejadian itu sempat dirakam oleh pemandu lain yang menyaksikan seekor anjing diseret sebuah lori sebelum gambar itu ditular sehingga menimbulkan kemarahan pencinta haiwan dan orang ramai termasuk menarik perhatian rakyat luar negara.

Gambar itu memaparkan sebuah lori berwarna putih menarik sekor anjing hitam menggunakan tali di Jalan Pandaruan dekat sini.

Berikutan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Kuching oleh seorang lelaki pada Jumaat lalu sekitar jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata pihaknya sudah menjalankan siasatan ke atas gambar menjadi tular dalam aplikasi WhatsApp dan Facebook tentang kekejaman dilakukan ke atas anjing.

“Kita berjaya mengesan pemandu lori terbabit dari Kampung Sayung, berusia 59 tahun dan beliau menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang dengan membawa lori yang dipandu pada hari kejadian,” katanya di sini semalam.

Mohd Bukhori berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu lori itu tidak menyedari seekor daripada empat anjing peliharaannya tersangkut pada lori yang dipandunya.

“Pemandu lori terbabit memberitahu beliau sedar seekor daripada anjingnya berada di belakang lori tersebut sebelum rantai anjing menyangkut di lorinya ketika beliau memusingkan lori,” katanya.

Kejadian menyayat hati itu, menurut beliau, hanya disedari pemandu lori terbabit selepas dimaklumkan orang awam sebaik tiba di kawasan lampu isyarat Jalan Bangkita di sini.

“Pemandu itu terpaksa mencari kawasan lapang untuk memberhentikan lorinya dan mendapati anjing peliharaannya tersangkut di belakang lori,” jelasnya.

Katanya, anjing terbabit mempunyai rantai panjang di leher dan kerap tidur di bawah lorinya.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 3 Ordinan Penganiayaan Binatang 1963,” katanya.