Siasatan kematian gajah sedang dijalankan: Masidi

0
BERSARA: Masidi menyampaikan penghargaan kepada mantan Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah Datuk Yabi Yangkat yang bersara wajib pada minggu lalu.

BERSARA: Masidi menyampaikan penghargaan kepada mantan Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah Datuk Yabi Yangkat yang bersara wajib pada minggu lalu.

Pihak kementerian ada menerima beberapa maklumat

PENAMPANG: Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dengan kematian tragik dua ekor gajah berhampiran Sungai Segama di Hutan Simpan Kawag, Lahad Datu pada Disember tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, beliau telah mengarahkan setiausaha tetap kementerian untuk mengetuai siasatan berkenaan bersama-sama agensi terlibat.

Katanya, mereka ada menerima beberapa maklumat dan diharap maklumat itu akan membawa mereka menemui jawapan yang diinginkan.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut tentang maklumat itu dan memberitahu kementerian akan mendedahkan semuanya pada masa yang sesuai.

Kedua-dua gajah yang ditemui mati berhampiran Sungai Segama itu dibunuh selepas gadingnya diambil.

Satu daripada bangkai yang ditemui itu adalah gajah yang mempunyai gading membengkok ke bawah menyerupai haiwan prasejarah dinamakan sebagai Sabre yang dipindahkan ke situ dari Felda Umas, Tawau ke Hutan Simpan Kawag pada September lalu.

Keunikan Sabre menyebabkan gajah berkenaan diberi pendedahan kepada umum dan maklumat itu berkemungkinan mendorong pemburu haram untuk datang mendapatkan gadingnya.

Bangkai seekor lagi gajah ditemui dengan kepala dipotong dan gadingnya hilang di kawasan ladang sawit berhampiran Hutan Simpan Kawag pada 27 Disember tahun lalu.

“Publisiti tidak selalunya bagus. Ia mungkin bagus untuk pelancongan kita tetapi, dalam masa yang sama, kita memberitahu penjenayah untuk datang dan mengambilnya (gading). Ada perkara yang kita perlu simpan sendiri, perkara yang sangat istimewa di Sabah.

“Kita perlu berhati-hati apabila bercakap mengenai apa yang kita miliki di Sabah pada masa akan datang yang mungkin mengundang kedatangan pemburu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai siasatan terhadap kes pembunuhan dua gajah yang dibunuh bagi mendapatkan gadingnya pada Disember lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baru Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar di Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, kelmarin.

Sementara itu, menyentuh mengenai kehadiran pelancong pada tahun lalu, Masidi berkata, kehadiran pelancong pada tahun lalu antara yang terbaik direkodkan.

Katanya, ia berikutan pendekatan pemasaran yang berbeza yang dilakukan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dalam mempromosikan destinasi pelancongan di negeri ini kepada orang luar.

Beliau berkata, berbanding menggunakan papan iklan besar, STB mengambil pendekatan menggunakan teknologi moden serta aplikasi dalam telefon pintar untuk memasarkan Sabah kepada pelancong China, Korea dan Taiwan.

Buat pertama kalinya, STB mencatatkan bajet lebihan dan ia adalah berikutan pengurusan yang efisien dalam belanjawan.

“Saya mengarahkan mereka (STB) supaya kurang berbelanja pada tahun lalu dan mereka harus mengurangkan perbelanjaan untuk promosi dengan menggunakan peruntukan RM2 juta. Arahan sebegini tidak mudah diterima,” katanya.

Bagaimanapun, STB berjaya menarik lebih ramai pelancong antara Januari hingga Oktober 2016. Kedatangan pelancongan China, Korea dan Taiwan mencecah hingga 40 peratus daripada jumlah kedatangan pelancong pada tahun lalu.

Keadaan sebegitu menunjukkan STB melakukan tugas mereka dengan cukup baik dalam mempromosikan Sabah kepada pelancong asing.