Jom sertai Kuching Ultra Marathon pada 1-2 April

0
JOM SERTAI: Awang Saifeluddin (duduk kiri), Daniel (duduk kanan) bersama penaja memperagakan poster larian pada sidang media di Kuching kelmarin.

JOM SERTAI: Awang Saifeluddin (duduk kiri), Daniel (duduk kanan) bersama penaja memperagakan poster larian pada sidang media di Kuching kelmarin.

KUCHING: Petra Jaya Ultra Running Club buat julung kalinya menganjurkan Kuching Ultra Marathon pada 1-2 April depan bertujuan mengumpul dana untuk kelab dan mewujudkan kesedaran kalangan pelari Ultra Running di sini.

Setiausaha kelab, Awang Saifeluddin Awangku Karim berkata larian itu juga bertujuan memberi peluang kepada pelari-pelari memperbaiki pencapaian dan menamatkan larian marathon sejauh 42 kilometer.

Menurutnya, larian sama dianjurkan di Semenanjung Malaysia seperti TITI 100 di Hulu Langat, Penang Ultra di George Town, Langkawi Ultra di Langkawi dan Putrajaya 100 kilometer.

“Memandangkan kita mempunyai ramai Ultra Runners di Sarawak, kami percaya inisiatif ini akan menggalakkan lebih ramai pelari menyertai Ultra Road Marathon di Kuching,” katanya pada sidang media di Kompleks Belia dan Sukan, di sini kelmarin.

Pengarah Larian ialah Shannon Francis Bala, pelari marathon veteran yang pernah menyertai lapan larian marathon ultra dan 26 marathon penuh di Malaysia dan luar negara.

Beliau juga merupakan orang Sarawak pertama membuat percubaan dan menamatkan larian marathon ultra sejauh 160 kilometer.

Menurut Awang Saifeluddin, larian tersebut mempertandingkan dua kategori iaitu 50 dan 70 kilometer dengan sasaran seramai 400 peserta.

“Ia akan merentasi laluan Old Court House, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), BCCK, Medan Hamidah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan berakhir di China House,” katanya.

Larian tersebut turut disokong oleh Jabatan Belia dan Sukan.

Untuk maklumat lanjut orang awam boleh menghubungi Awang Saifeluddin (016-8782809), Shannon (016-8860343) atau dengan melayari www.kuchingultra. com.

Hadir sama pada sidang media tersebut Timbalan Pengarah larian, Daniel Batin.