JPN Sabah fokus kepada integriti guru tahun ini

0

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah tahun ini akan memberi fokus kepada usaha memelihara integriti warga jabatan dalam memantapkan sistem penyampaian di semua sekolah di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Maimunah Suhaibul berkata antara langkah yang diambil ialah dengan menjemput wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi taklimat pada mesyuarat di peringkat JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Semalam (kelmarin), saya menerima kunjungan hormat daripada Pengarah SPRM Negeri Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap dan antara isu yang dibentangkannya ialah isu pemberian tender perkhidmatan bekalan kepada anggota keluarga pengetua atau guru besar sekolah.

“Kami tidak diberikan data yang spesifik, tetapi dengan isu yang dibangkitkan itu, jelaslah bahawa JPN perlu mengambil langkah-langkah yang patut untuk memelihara integriti tenaga pengajar dan seluruh warga jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan perutusan awal tahun kepada para guru Sabah di sini semalam.

Selain pengurusan kewangan sekolah, Maimunah turut menekankan integriti guru dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk dalam pengurusan dan pengendalian peperiksaan di sekolah mahupun peperiksaan awam.

Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik arahan Kementerian Pendidikan untuk menempatkan graduan Institut Pendidikan Guru sebagai guru interim bagi mengisi kekosongan di sekolah-sekolah sementara menunggu peluang untuk ditemu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Beliau turut menyambut baik penstrukturan semula kementerian bagi memberi lebih autoriti kepada JPN dan PPD dalam membuat keputusan.

“Kami belum tahu berapa banyak perjawatan yang terlibat untuk Sabah, tetapi ini satu pengumuman yang dinanti-nantikan,” katanya. — Bernama