Lebih RM300,000 dana khas untuk pendidikan: Arifin

0

MEMBAKUT: Bagi memperkasakan lagi pendidikan khususnya di kawasan ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut telah memperuntukkan dana khas lebih RM300,000 bagi sekolah-sekolah dalam zon Membakut.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga ADUN Membakut Datuk Arifin Arif berkata ia bertujuan membangunkan ilmu pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar, sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang pada masa hadapan.

Katanya melalui peruntukan itu, pihak sekolah bukan sahaja dapat merancang program-program berkaitan pendidikan tetapi mampu melaksanakannya dengan lebih teratur demi manfaat para pelajar.

“Sumbangan ini merupakan usaha saya yang bertujuan membantu sekolah-sekolah dalam melaksanakan program-program bermanfaat demi meningkatkan kecemerlangan para pelajar di kawasan ini.

“Peruntukan khas ini meliputi semua sekolah dalam zon Membakut iaitu sekolah menengah (SM), sekolah kebangsaan (SK), Sekolah Agama Negeri (SAN), dan tadika termasuklah prasekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Peruntukan Khas Yang Berhormat bagi Sekolah-Sekolah Zon Membakut 2017 di Perpustakaan Cawangan Membakut.

Dalam pada itu, Arifin memberitahu sejak usaha itu dilaksanakan lapan tahun lalu, ia telah memberi kesan yang positif terhadap kecemerlangan pelajar saban tahun.

Justeru, beliau berharap bantuan yang diberikan itu dapat digunakan dengan sebaik mungkin demi rakyat bagi mencapai hasrat kerajaan dalam melahirkan lebih ramai modal insan cemerlang.

“Manfaatkanlah peruntukan ini dengan sebaiknya agar harapan pihak sekolah untuk melahirkan ramai pelajar cemerlang dapat dicapai. Walaupun bantuan ini agak sedikit, namun diharap ia dapat memberikan kesan yang baik kepada golongan pelajar,” katanya.

Sebanyak tiga SM, 15 SK dan empat SAN serta 15 prasekolah menerima bantuan Peruntukan Khas YB yang disampaikan oleh Arifin.