Lelaki cuba serang polis cedera ditembak

0
BAHAN BUKTI: Ahmad (tengah) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Keningau ASP Lee Nyuk Kim (kiri) dan Pegawai Penyiasat Inspektor Roning Mulut menunjukkan parang yang dirampas daripada suspek.

BAHAN BUKTI: Ahmad (tengah) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Keningau ASP Lee Nyuk Kim (kiri) dan Pegawai Penyiasat Inspektor Roning Mulut menunjukkan parang yang dirampas daripada suspek.

KENINGAU: Seorang lelaki tempatan cedera ditembak ketika cuba membunuh seorang anggota polis berpangkat koperal dengan menggunakan parang dalam kejadian yang berlaku di kawasan Jalan Ansip, di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, anggota polis berkenaan turut cedera di bahagian kaki terkena libasan parang daripada suspek, seorang penoreh getah berumur 32 tahun dan berasal dari sebuah kampung di Sook di sini, kata Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Ahmad Jawila, kelmarin.

Beliau berkata polis turut merampas tiga bilah parang serta dua kenderaan iaitu sebuah Toyota Prado dan van daripada suspek.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini, Ahmad berkata ia adalah kejayaan polis dalam usaha membanteras kegiatan curi kenderaan di daerah ini.

Beliau memberitahu pada 10 Januari jam 10.36 malam, satu laporan polis dibuat oleh pengadu yang juga anggota polis berpangkat sarjan berumur 44 tahun.

Katanya laporan itu menyatakan pada hari yang sama kira-kira jam 5.30 petang, pengadu bersama 10 anggota yang lain telah menjalankan tugas Ops Lejang di kawasan Jalan Ansip menaiki van dan Proton Preve untuk mengesan kenderaan curi di daerah ini.

“Semasa tugasan dibuat, pasukan polis telah melihat sebuah kenderaan jenis Toyota Prado warna putih yang mencurigakan. Pasukan polis yang menaiki van telah masuk ke jalan kebun sawit manakala kereta Proton Preve menunggu di simpang jalan kerana tidak dapat memasuki jalan berkenaan.

“Selang beberapa minit, secara tiba-tiba datang sebuah kenderaan jenis Toyota Prado warna putih yang dipandu secara melulu ke arah kenderaan Preve yang berada di tepi jalan, dan telah melanggar kereta Preve manakala Toyota Prado itu terbabas ke dalam longkang,” katanya.

“Akibat pelanggaran itu, kenderaan dinaiki suspek telah terbabas masuk ke dalam longkang. Suspek telah keluar memegang sebilah parang dan cuba menyerang mangsa untuk melarikan diri.

“Suspek telah melibas parang ke arah mangsa pada jarak lebih kurang dua kaki menyebabkan mangsa terjatuh kerana mengelak.

“Suspek sekali lagi melibas parang ke arah mangsa dan terkena di betis kaki kiri mangsa. Pada masa yang sama, seorang anggota polis yang melihat kejadian telah melepaskan tiga das tembakan dari jarak lebih kurang 16 kaki bagi menyelamatkan mangsa,” katanya.

Ahmad berkata suspek dan mangsa telah cedera dan telah dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut. Hasil rawatan mendapati suspek telah terkena tembakan di bahu kanan, luka di lengan kiri dan punggung sebelah kiri.

Bagaimanapun, katanya, suspek dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru dari punggungnya.

Sementara itu, beliau berkata hasil rawatan terhadap mangsa mendapati dia mengalami kesan tetakan panjang lebih kurang lapan sentimeter.

“Siasatan terhadap kenderaan yang dinaiki suspek mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Menggatal, Kota Kinabalu dan bersabit dengan laporan kes 216/17- KK/JSJ/KS/41/17.

Katanya suspek akan direman dan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit dengan kesalahan boleh dipenjara 20 tahun.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Keningau ASP Lee Nyuk Kim dan Pegawai Penyiasat Inspektor Roning Mulut.