Selamat dikebumi

0

Oleh Agnes Tugong dan Nick Fletcher//

PENGHORMATAN TERTINGGI: Jamilah (kiri) tidak dapat menahan sebak ketika menerima bendera Sarawak daripada Tun Taib (kanan). Turut kelihatan  Toh Puan Ragad (tengah).

PENGHORMATAN TERTINGGI: Jamilah (kiri) tidak dapat menahan sebak ketika menerima bendera Sarawak daripada Tun Taib (kanan). Turut kelihatan Toh Puan Ragad (tengah).

KUCHING: Suasana sedih dan pilu menyelubungi upacara pengebumian jenazah Allahyarham Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Tanah Perkuburan Islam Samariang di sini, semalam.

Kenderaan yang membawa keranda jenazah Allahyarham tiba di perkuburan itu pada kira-kira jam 2.05 petang dan diusung keluar oleh pegawai dan anggota dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jenazah Allahyarham, 72, selamat dikebumikan pada kira-kira jam 2.40 petang dengan istiadat pengebumian negeri yang turut dihadiri isteri Allahyarham Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu dan anggota keluarganya serta sanak saudara.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir bersama ribuan rakyat negeri ini.

Hadir sama menteri-menteri persekutuan dan negeri, ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri, pemimpin-pemimpin masyarakat, persatuan dan badan bukan kerajaan.

Selepas bacaan Talkin dipimpin Pemangku Iman Besar Masjid Jamek Sarawak Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, majlis diteruskan dengan upacara penyerahan bendera Sarawak kepada keluarga Allahyarham.

Bendera diserahkan oleh Tun Taib kepada Jamilah sebagai penghormatan tertinggi kerajaan negeri dan rakyat kepada Allahyarham.

Jamilah seterusnya menyiram air mawar di pusara Allahyarham diikuti Tun Taib dan Toh Puan Ragad, Sultan Brunei, Najib dan Rosmah.

Anak-anak serta cucu-cucu Allahyarham turut menyiram air mawar di pusara Allahyarham sebelum beransur-ansur beredar meninggalkan perkuburan pada kira-kira jam 4 petang.

Terdahulu sebelum disemadikan, jenazah Allahyarham dibawa ke Majlis Jamek Sarawak untuk disembahyangkan dan memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi penghormatan terakhir.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 1.24 petang di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Rabu lepas sebelum sempat meraikan hari kelahirannya yang ke-73 pada 27 Januari ini.

PERGINYA SEORANG SAHABAT: Najib menabur bunga mawar di atas pusara Allahyarham yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, semalam. Turut kelihatan isteri Allahyarham, Jamilah (kanan Najib).

PEMIMPIN ULUNG: Keranda jenazah Allahyarham diusung oleh pegawai dan anggota ATM dan PDRM untuk dikebumikan dengan istiadat pengebumian negeri.

PEMIMPIN ULUNG: Keranda jenazah Allahyarham diusung oleh pegawai dan anggota ATM dan PDRM untuk dikebumikan dengan istiadat pengebumian negeri.

PILU: Jamilah menyiram air mawar di pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Samariang, semalam. — Gambar Bernama

PILU: Jamilah menyiram air mawar di pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Samariang, semalam. — Gambar Bernama