Lelaki warga asing ditemui tergantung di dahan pokok

0
TERGANTUNG: Anggota bomba melakukan operasi menurunkan mayat mangsa untuk tindakan selanjutnya.

TERGANTUNG: Anggota bomba melakukan operasi menurunkan mayat mangsa untuk tindakan selanjutnya.

PENAMPANG: Seorang lelaki warga asing ditemui tergantung di dahan pokok di kawasan hutan berhampiran Jalan Kampung Baru Luyang, di sini, petang kelmarin.

Mangsa warganegara Indonesia dikenali sebagai Rusli Settang, 37, ditemui dalam keadaan tergantung oleh penduduk kampung kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Rosley Hobden semasa dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 2.10 petang sebelum ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Siasatan awal terhadap mangsa mendapati mangsa yang lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan tergantung menggunakan tali pinggang dan tuala kecil di dahan pokok terbabit.

“Polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan selanjutnya bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya sambil menambah, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berikutan ia boleh menjejaskan siasatan anggota polis.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Tinggi (PBT) Jamaludin Hussin berkata, pihaknya turut dimaklumkan berkenaan kejadian dan menggegaskan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan operasi menurunkan mayat lelaki berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan berasingan, pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud turut mendapat laporan lelaki berumur 22 tahun yang ditemui tergantung di dahan pokok di Kampung Tambulion Kota Belud, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintenden Mohd Zaidi Abdullah semasa dihubungi kelmarin mengesahkan kejadian itu.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan kenyataan lanjut berkenaan kejadian dan pihaknya kini masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut.

Beliau akan memberikan kenyataan rasmi sebaik siasatan diselesaikan sepenuhnya.