Remaja lelaki rompak empat pelajar ditahan polis

0

PAPAR: Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun ditahan sepasukan polis selepas didapati merompak empat pelajar dan melarikan wang tunai dan telefon bimbit mangsa berdekatan Kampung Suangon Kinarut di sini Rabu lalu.

Kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 11.30 pagi pada 11 Januari lalu apabila suspek bersama beberapa rakannya menyerang mangsa menggunakan baton sebelum merompak empat pelajar terbabit lalu melarikan wang tunai sejumlah RM60 dan dua buah telefon bimbit milik mangsa.

Ketua Polis Dearah Papar Deputi Superintenden George Abdul Rakman berkata kejadian berlaku apabila kumpulan pelajar terbabit dalam perjalanan balik ke rumah melalui Kampung Seri Menanti Kinarut sebaik sesi persekolahan tamat.

“Semasa dalam perjalanan dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal menghampiri mangsa secara tiba-tiba dan memberhentikan motosikal di sebelah kumpulan mangsa.

“Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa untuk memberikan wang serta telefon bimbit yang dipegang mangsa ketika itu.

“Mangsa bagaimanapun enggan memberikan apa yang diminta oleh suspek menyebabkan suspek memukul mangsa menggunakan baton dan mencederakan kesemua mangsa,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata, suspek kemudiannya segera meninggalkan lokasi kejadian dan mangsa bertindak membuat laporan polis pada hari sama.

“Bertindak dengan maklumat yang diterima sepasukan polis kemudiannya menjalankan operasi mengesan suspek.

“Kira-kira lima jam selepas kejadian, salah seorang suspek berjaya dikesan dan ditahan berdekatan Skim Penempatan Kinarut kira-kira jam 3.40 petang hari sama,” katanya.

Menurutnya pihaknya kini masih menjalankan operasi bagi mengesan suspek kedua yang dipercayai masih berada di kawasan berhampiran.

Tambahnya kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan.