Abang Johari diharap terus berjuang bela nasib rakyat

0

SIBU: Ketua Menteri baharu Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg diharap terus berjuang membela nasib rakyat negeri ini seperti Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Pengerusi Persatuan Tuai Rumah (PTR) Cawangan Meradong Tuai Rumah Rantie Ayai berkata, Abang Johari juga diharap dapat meneruskan legasi Allahyarham.

“Memang kita rakyat mengharapkan Abang Johari memainkan peranannya dengan sebaik mungkin dan pada masa yang sama turut meneruskan perjuangan Allahyarham sebelum ini. Kalau boleh, kita mahu beliau lebih baik daripada Allahyarham,” katanya di sini, semalam.

 

Rantie memberitahu, rata-rata rakyat negeri ini masih merindui kepimpinan Allahyarham lebih-lebih lagi dengan kebijaksanaannya menyelesaikan isu dan bersuara mewakili rakyat.

“Justeru, kita mahu Abang Johari seperti Allahyarham dengan lantang bersuara serta tidak takut menyuarakan sesuatu isu atau permintaan kepada kerajaan pusat,” jelasnya.

Menurutnya, perjuangan Allahyarham masih ada yang belum selesai dan ia amat memerlukan Abang Johari memperjuangkannya.

“Kita percaya Abang Johari yang mempunyai pengalaman luas dalam politik pasti tidak akan mengecewakan rakyat negeri ini.

“Segala kepercayaan dan harapan rakyat adalah terletak di bahunya untuk menerajui negeri ini dengan lebih maju lagi pada masa akan datang,” tambahnya.

Sementara itu, Tuai Rumah Ngipa Andieng turut menyokong pelantikan Abang Johari.

Katanya tugas yang dipikul oleh beliau adalah sungguh besar lebih-lebih lagi menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat seperti usaha yang dilakukan oleh Allahyarham dulu.

“Sekarang, kita harus berfikiran terbuka dan bagi peluang kepada Abang Johari melakukannya. Kita percaya beliau mampu lakukannya,” jelasnya.

Ngipa juga berharap kepimpinan Abang Johari kelak akan terus memperkasakan pembangunan luar bandar.

“Apa yang Allahyarham buat dulu, ia harus disambung serta diperjuang Abang Johari,” tambahnya.