Bangunan tadika jheains di Merotai Besar dibina tahun ini

0

TAWAU: Kerajaan negeri akan membina bangunan baharu untuk tadika Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di sini tahun ini, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Beliau berkata bangunan itu akan didirikan di atas tapak Sekolah Agama Negeri (SAN) Merotai Besar.

“Saya harap pembinaannya dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana buat masa ini seramai 30 orang telah mendaftar di tadika ini dan memulakan pembelajaran di kelas sementara di bangunan SAN Merotai Besar,” katanya kepada Bernama selepas melawat SAN Tanjung Batu di sini kelmarin.

Beliau turut mencadangkan agar tadika JHEAINS dibuka di beberapa daerah lain di Sabah bagi memenuhi permintaan masyarakat Islam.

Pada masa ini terdapat 14 tadika JHEAINS di seluruh Sabah, katanya.

Selain itu, Arifin berkata kerajaan negeri turut membina sebuah lagi SAN di Tanjung Batu tahun ini bagi menampung permintaan tinggi masyarakat.

“Kita akan menambah sebuah SAN di Tawau dan ketika ini kita cuma ada dua SAN iaitu di Balung dan Merotai, dengan pembinaan sebuah lagi ini dapat membantu memantapkan ilmu agama anak-anak di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan mewujudkan lebih banyak sekolah menengah agama di Sabah. — Bernama