BiFA adakan sesi pemilihan pemain untuk LBR Wanita

0

KUCHING: Persatuan Bolasepak Bahagian Bintulu (BiFA) sedang mengadakan sesi pemilihan pemain wanita untuk mewakili Zon Utara pada kempen Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Wanita Zon Borneo yang akan diadakan di Bintulu dari 3 hingga 5 Februari depan.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang juga Presiden BiFA Duke Janteng menegaskan bahawa sesi pemilihan itu diadakan di Bintulu semalam yang turut melibatkan pemain dari bahagian Mukah.

Menurutnya, sesi pemilihan itu akan berakhir hari ini di Miri melibatkan pemain dari bahagian tersebut dan Limbang/Lawas.

“Sesi pemilihan pemain ini dibuat untuk mencari pemain wanita bagi mewakili Zon Utara pada saingan LBR Wanita Zon Borneo,” katanya semalam.

“Sebaik senarai pemain telah dikenal pasti, kita akan memulakan sesi latihan bermula 27 Januari ini di Bintulu,” katanya.

Sementara itu, sesi pemilihan pemain bagi Zon Selatan akan dikendalikan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Sibu (PBBS) Kushairy Bujang.

Saingan LBR Wanita yang pertama kali diperkenalkan dijangka diadakan dari 3 hingga 5 Februari di Bintulu bagi Zon Borneo.

Ia akan disertai empat pasukan, dua dari Sarawak dan dua dari Sabah.

Kesemua perlawanan akan menggunakan Padang UPM Bintulu.