MARA akur dengan arahan menteri KKLW: Annuar

0

KOTA BHARU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akur dengan arahan supaya agensi itu dan anak syarikatnya menangguhkan sebarang bentuk penajaan melainkan yang berkaitan pendidikan tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata beliau akan memberi kerjasama terhadap arahan yang dikeluarkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu.

“Saya juga akan memberikan maklum balas serta laporan kepada menteri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian bantuan awal persekolahan 2017 di Yayasan Kemiskinan Kelantan Padang Kala, Melor, di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas arahan Ismail Sabri yang dilapor mahukan dua agensi di bawah kementeriannya, Universiti Kuala Lumpur dan MARA, menangguhkan sebarang bentuk penajaan tidak berkaitan pendidikan tahun ini.

Arahan itu dikeluarkan susulan laporan yang mendakwa dua agensi itu menaja pasukan bola sepak Kelantan.

Sementara itu Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan mengesahkan tiga pemain import bakal beraksi dengan pasukan The Red Warriors musim ini.

Mereka ialah Mohammed Ghaddar dari Lubnan, Okiki Afolabi (Nigeria) dan Cedric Djeugoue (Cameroon), katanya. — Bernama