Pemuda PBB buat laporan polis berhubung fitnah terhadap Adenan

0

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di beberapa ranting di negeri ini telah membuat laporan polis berhubung kenyataan berunsur fitnah terhadap Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Ketua Pemuda PBB merangkap Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia bagi mengelakkan sesuatu yang lebih negatif terus berlaku di kalangan rakyat di negeri ini.

“Pemuda di beberapa ranting juga telah membuat laporan polis mengenai perkara ini namun kita serahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sama ada ia benar atau tidak.

“Namun apa yang kita tidak mahu berlaku di Sarawak adalah sesuatu yang negatif kerana kita mahu menanam nilai baik di kalangan warga dan netizen Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan sempena Tahun Baharu Cina (TBC) di Dewan SUPP Jalan Sungai Tengah di Matang di sini, semalam.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya menegaskan, perpaduan dan keharmonian antara rakyat Sarawak telah lama terjalin dan ia perlu dikekalkan supaya nilai murni yang ditanam nenek moyang itu dapat diterapkan kepada generasi muda pelbagai kaum.

“Ini adalah cara kita untuk terus hidup lebih aman dan harmoni dan apa yang penting kita perlu mengekalkannya kerana Sarawak mempunyai pelbagai bangsa, agama dan budaya.

“Maka itu amat penting kepada kita untuk belajar menghormati antara satu sama lain dengan tidak melihat kepada perbezaan itu tetapi melihat kepada perkara positif,” tegasnya.

Beliau berkata sebagai pemimpin, sudah pasti mereka mahukan yang terbaik untuk rakyat dan negeri Sarawak.

Katanya perkara seperti itu harus ditumpukan selain mengekalkan tingkah laku yang positif di kalangan komuniti.

Sementara itu pada majlis penyerahan sumbangan berkenaan, seramai 110 penerima terdiri daripada warga emas dan keluarga miskin menerima bantuan sempena Tahun Baharu Cina iaitu limau dan angpau.

Hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dan Penghulu Kawasan Matang Chai Khiun Khian.