Pemuda PBB sokong pelantikan Abang Johari

0

Pemuda berikrar beri sokongan serta kerjasama padu kepada Ketua Menteri baharu: Fadillah

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING:  Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyokong penuh pelantikan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg sebagai Ketua Menteri dan berikrar akan memberi sokongan serta kerjasama padu kepada beliau.

Ketua Pemuda PBB Datuk Seri Fadillah Yusof berkata malahan ia bagi meneruskan agenda perjuangan PBB dan BN dalam membela nasib serta kepentingan rakyat semua kaum di negeri ini.

“Pelantikan YAB Datuk Amar Abang Johari yang mendapat restu dan sokongan padu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) amat tepat dan kita yakin beliau akan dapat meneruskan kesinambungan kepemimpinan cemerlang Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Dengan pengalaman luas 40 tahun dalam bidang politik termasuk 36 tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Satok dan 30 tahun dalam pentadbiran kerajaan Negeri sebagai menteri penuh, Pemuda PBB yakin Yang Amat Berhormat Datuk Amar Abang Johari akan dapat memikul amanah dan tanggungjawab besar yang diamanahkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Fadillah yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata Sarawak akan terus maju, makmur dan bersatu di bawah pentadbiran baharu yang diketuai Abang Johari iaitu seorang pemimpin berwibawa yang mesra rakyat.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, dengan adanya nilai dan budaya kerja berpasukan, semangat kebersamaan dan kesatuan serta perpaduan yang disemai oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, maka rakyat Sarawak dapat menyaksikan peralihan kuasa pucuk kepimpinan negeri sekali lagi berjalan lancar di negeri ini.

“Sebagai Ahli Parlimen Petra Jaya, saya berterima kasih kepada PBB atas kepercayaan dan pengiktirafan yang diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Satok untuk menerajui kepimpinan negeri Sarawak.

“Alhamdulillah dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Amar Abang Johari atas pelantikan sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam bagi menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem,” katanya.

Menteri Kerja Raya itu turut berikrar akan meneruskan agenda pembangunan melibatkan kementeriannya di Sarawak.

Katanya ia termasuk dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

“Ia adalah menjadi keutamaan perjuangan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Razak dan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan.