Rujuk pakar sebelum makan sebarang ubat: Khairy

0

KUALA LUMPUR: Rujuk kepada pakar perubatan khususnya pegawai Institut Sukan Negara (ISN) sebelum memakan sebarang ubat bagi mengelakkan kesalahan doping, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Ketika mengingatkan atlet yang akan mewakili negara ke Sukan SEA di sini Ogos ini, Khairy berkata adalah penting untuk atlet berhati-hati atas semua ubatan kerana mereka bertanggungjawab jika didapati menggunakan bahan terlarang.

Beliau menegaskan bukan sahaja atlet, malah seluruh rombongan juga bertanggungjawab memastikan atlet bebas daripada kesalahan doping.

“Apa yang anda (atlet) makan, itu adalah tanggungjawab anda… kalau tak tahu, tanya (pegawai) ISN, pakar atau pun jurulatih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu Kempen Kesedaran Anti Doping Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Wisma OCM di sini, semalam.

Khairy berkata usaha memerangi kesalahan doping tidak harus hanya ditumpukan kepada sukan berprestasi tinggi tetapi juga atlet yang terbabit dalam sukan rekreasi dan sukan massa.

Menurutnya doping kini bukan hanya dianggap isu sukan tetapi juga menyentuh kesihatan dan masa depan negara.

— Bernama