SFC berjaya patah tiga operasi balak haram Bintulu dan Lawas

0

KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) menerusi Pusat Pematuhan Sehenti (OSCC) berjaya mematah tiga operasi pembalakan haram di kawasan Bintulu dan Lawas sepanjang minggu lalu.

Menurut kenyataan media SFC semalam, operasi pembanterasan itu dijalankan di Tubau, Trusan dan Lawas.

“Manakala Khamis lalu, sebanyak 146 balak haram dirampas dalam satu serbuan di Jalan Bintulu-Bakun oleh sepasukan penguatkuasa SFC Daerah Bintulu dan OSCC Tubau,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyatan SFC turut menjelaskan, serbuan berjaya dibuat selepas menjalankan rondaan rutin di kawasan terbabit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada lesen pembalakan dikeluar dan balak pelbagai jenis dipercayai diambil dari ladang kelapa sawit berhampiran,” kata kenyataan itu sambil menambah, OSCC Trusan dan Lawas dengan kerjasama SFC Wilayah Miri mendedah operasi pembalakan haram di Sungai Betanung, Batang Trusan.

Berikutan itu, sebanyak 123 balak pelbagai jenis ditemui dalam kawasan berlesen, namun balak tersebut dianggap haram kerana tapak penebangan belum disah untuk pembalakan.

Sementara di Lawas, OSCC Lawas merampas 450 balak pelbagai spesies di Long Ugui dianggap menyalahi undang-undang kerana ditebang tanpa lesen sah.

Kesemua kes tersebut telah dilapor kepada polis dan kayu balak itu ditahan sebelum diserah kepada Jabatan Hutan untuk siasatan lanjut.