243 perenang bakal berentap pada kejohanan renang Sibu

0

SIBU: Seramai 243 perenang dari 20 buah sekolah di sini mengambil bahagian pada Kejohanan Renang Peringkat Umur Kumpulan Jemputan Sibu di Kolam Renang Bukit Lima pada 20 hingga 22 Januari ini.

Pengerusi penganjur, Dr Toh Teck Hock berkata sebanyak 192 acara akan dipertandingkan pada kejohanan tiga hari itu.

Ia dibahagikan kepada enam kategori iaitu lelaki dan wanita merangkumi Kumpulan A, B, C, D, E dan terbuka.

“Kumpulan C (bawah 13) menarik penyertaan paling ramai dengan 31 wanita dan 39 lelaki mengambil bahagian.

Manakala Kumpulan B (bawah 15) dengan 30 wanita dan 19 lelaki dan sambutan sangat baik dalam kedua-dua kategori,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Renang Amatur Sibu (SASA) Oliver Kuo, Setiausaha SASA Tony Hii, Bendahari SASA Yek How Sing dan dua jurulatih renang Bahagian Sibu, Wong Sing Uong dan Samuel Wong.

Toh berkata, SASA juga memperkenal kategori individu terbaik dan perenang mengumpul paling banyak mata dikira pemenang.

“Kami tidak melihat bilangan rekod tetapi bilangan mata perenang dikumpul.

Ini adalah satu perubahan dan mudah-mudahan melalui sistem mata itu perenang cuba yang terbaik menjulang gelaran individu keseluruhan terbaik,” jelasnya.

Toh berkata, pemenang juga dipilih mewakili Bahagian Sibu pada kejohanan sama peringkat negeri diadakan di venue belum ditetapkan.

“Kejohanan peringkat negeri diadakan untuk memilih wakil Sarawak ke kejohanan peringkat kebangsaan di Melaka pada 9 hingga 12 Mac nanti,” tambahnya.

Kuo dalam ucapan ringkasnya berkata, SASA menganjurkan kejohanan ini sejak beberapa tahun lalu bertujuan menaik taraf dan meningkatkan standard perenang di Sibu.

“Ini adalah landasan perenang tempatan mempamerkan bakat dan jika mereka mempunyai potensi, mereka boleh pergi jauh untuk mewakili negeri dan negara,” katanya.

Kuo mengakui standard renang di sini agak kurang memberangsangkan dan beberapa tahun lalu hanya mencapai beberapa kejayaan sahaja perlu diambil perhatian.

Beliau berkata, prestasi Sibu pada Kejohanan Renang Piala Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai di Kuching pada tahun lalu di mana SASA hanya mampu menduduki tempat keempat.

“Ini adalah petunjuk jelas perenang Sibu perlu bangkit jika mereka mahu kekal sebagai satu kuasa sukan renang yang pernah dikuasainya sebelum ini.

“Kita pernah dua kali berturut- turut mempertahan kejuaraan Piala Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai tetapi malangnya pada tahun lalu kita gagal mempertahan kejuaraan mencipta ‘hatrik’ tiga kali berturut-turut.

“Semua ini adalah tandatanda bahawa kita perlu bekerja keras untuk merampas semula gelaran yang pernah menguasai sukan renang di negeri ini,” katanya.