40 PATI diselamatkan Polis Marin daripada lemas

0

JOHOR BAHRU: Seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) nyaris lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik dipukul ombak besar ketika cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa di perairan Punggai, Sungai Rengit, dekat Kota Tinggi, kelmarin.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata kesemua mereka dipercayai dalam perjalanan ke negara asal diselamatkan oleh anggota Polis Marin sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

“Ketika bot ronda cuba menghampiri bot berkenaan, bot itu memecut laju tetapi terbalik dipukul ombak besar menyebabkan semua penumpang jatuh ke laut,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Susulan kejadian itu, dua bot ronda Polis Marin yang berada lebih kurang satu batu nautika dari Pantai Punggai turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa yang terapung, pada kejadian jam 9.30 malam kelmarin.

Kesemua yang selamat ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pengerang mengikut Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) bagi membantu siasatan.    Khiu berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 37 warga Indonesia dan tiga warga Bangladesh termasuk lelaki dan wanita, berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.

“Hasil siasatan awal dan keterangan saksi, semua mangsa selamat dan tiada mangsa yang hilang dalam kejadian itu,” katanya.

Bagaimanapun, tiga PATI mengalami kecederaan akibat terjatuh dari bot.

“Seorang lelaki mengalami kecederaan di kaki dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala dua wanita lagi dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kota Tinggi sebelum dibawa ke pusat tahanan,” katanya. — Bernama