Cina diminta teruskan sokongan KM baharu

0
PRIHATIN: Lee ( dua  kiri) menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan asas kepada penerima sambil disaksikan Tony (kiri) sempena Tahun Baharu Cina di Miri semalam.

PRIHATIN: Lee ( dua kiri) menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan asas kepada penerima sambil disaksikan Tony (kiri) sempena Tahun Baharu Cina di Miri semalam.

Abang Johari seorang individu berketerampilan, mampu teruskan legasi ditinggal Allahyarham Adenan: Lee

Oleh Mohamad Norhadie Sahari //

MIRI: Masyarakat Cina di negeri ini digesa terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin berkata Abang Johari seorang individu berketerampilan dan mampu meneruskan legasi ditinggal Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Kita berharap masyarakat Cina sebelum ini yang menyayangi dan menyokong Allahyarham Adenan Satem meneruskan sokongan kepada Abang Johari yang menerajui kepimpinan Sarawak,” katanya.

Berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina kepada golongan kurang berkemampuan di sini semalam, Lee berharap kesetiaan masyarakat Cina terhadap kerajaan negeri dikekalkan.

“Kita masih bersedih dengan kehilangan Allahyarham Adenan Satem, bagaimanapun kehidupan perlu diterus dan berharap masyarakat Cina bekerjasama serta menyokong kepimpinan Abang Johari,” jelasnya.

Lee yang juga Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan mengakui banyak dasar yang diperjuang Allahyarham Adenan Satem disenangi dan memikat hati masyarakat Cina untuk terus kembali menyokong kerajaan.

“Inilah yang kita harapkan agar masyarakat Cina memberi sokongan berterusan kepada kerajaan negeri terutama kepada Abang Johari untuk meneruskan dasar-dasar yang belum sempat dilaksanakan Allahyarham Adenan,” ujarnya.

Menurutnya sokongan padu yang amat ketara serta perpaduan kaum semakin kukuh antara faktor penting kepada kerajaan meneruskan dasar pembangunan sekali gus menjaga kebajikan rakyat.

Sementara itu, seramai 100 penerima terdiri daripada golongan miskin, balu, ibu tunggal, warga emas serta anak  yatim menerima bantuan berupa barang keperluan asas serta angpau.

Program tahunan anjuran Persatuan Chee Lee Khor Miri bermatlamat meringankan beban golongan kurang berkemampuan khasnya dalam persiapan menyambut kedatangan Tahun Baharu Cina.

Lee pada majlis sama berharap lebih ramai badan sukarelawan, pertubuhan atau dermawan menghulurkan bantuan atau sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan sekali gus membudayakan semangat tolong-menolong.

Lee turut mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada persatuan itu. Turut hadir Pengerusi Persatuan Chee Lee Khor Tony Pui.